Foto hiasan
Foto hiasan
Samadi Ahmad

Putrajaya: Pengunjung bazar Ramadan di pusat pentadbiran kerajaan di sini, boleh menyalurkan aduan kebersihan dan keselamatan makanan melalui kod QR yang diletakkan di bazar itu.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, setiap aduan yang diterima akan diteliti dan diambil tindakan dengan secepat mungkin.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) akan meneruskan Ops Kebersihan dan Keselamatan Makanan Bazar Ramadan meliputi kempen keselamatan makanan yang komprehensif bagi memastikan makanan yang dijual selamat dan berkualiti.

Katanya, operasi itu bertujuan untuk melindungi kesihatan awam dan mempromosi amalan keselamatan makanan dalam kalangan peniaga dan pengguna.

"Kementerian juga bercadang melaksanakan inisiatif kod QR ini ke seluruh negara yang diadakan secara berperingkat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan melancarkan Ops Kebersihan dan Keselamatan Makanan Bazar Ramadan 2023 di bazar Ramadan Putrajaya, Presint 3 di sini, hari ini.

Operasi pada Ramadan 2022 sebanyak 19,951 premis makanan diperiksa dan daripada jumlah itu sebanyak 38 premis dilaporkan tidak bersih dan dikenakan tindakan penutupan.

Selain itu, sebanyak 1,030 notis kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2023 @ 7:36 PM