Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Makanan serta minuman yang dijual di bazar Ramadan di sini menunjukkan sedikit peningkatan harga berbanding tahun lalu.

Tinjauan ke beberapa bazar, hari ini, mendapati ada jualan yang mengalami penambahan kira-kira 20 sen sehingga RM1.

Pengunjung, Azizan Mat Yakob, 36, berkata, antara harga naik dengan ketara ialah minuman dengan ada peniaga yang menjual dengan harga RM4 sebekas berbanding RM3 sebelum ini.

"Begitu juga dengan martabak yang biasanya dibeli dengan harga RM3 sebiji tetapi hari ini, saya terkejut apabila harganya menjadi RM3.20, selain ada yang turut menjual pada harga RM3.50 sekeping.

"Selain itu, lauk pauk masih boleh dibeli dengan harga sebelum ini seperti RM5 atau RM10 untuk satu plastik, cuma yang bezanya adalah kuantiti yang sedikit berkurangan," katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Perkarangan Stadium Muhammad IV, di sini, hari ini.

Bagi, Rohaini Ab Hakim, 44, juadah masih boleh dibeli dan dia memahami keadaan nilai bahan mentah yang tidak menentu.

Menurutnya, terdapat juga peniaga yang mengambil inisiatif memberi beberapa pilihan harga supaya semua lapisan masyarakat dapat merasa dan membeli.

Hasil tinjauan juga mendapatibeberapa geraidengan menu Rahmah menjadi tumpuan pengunjung seperti gerai nasi ayam, nasi kerabu dan roti John.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2023 @ 6:29 PM
BAZAR Ramadan Stadium Sultan Muhammad IV mula dikunjungi pengunjung seawal 3 petang sebaik sahaja mula dibuka pada hari pertama. Bazar Ramadan tersebut yang terletak ditengah bandar Kota Bharu merupakan satu daripada bazar ramadan Rahmah di negeri ini oleh Kerajaan Bagi mengurangkan beban terutama golongan B40 untuk berbelanja pada bulan puasa ini.  FOTO Nik Abdullah Nik Omar