GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kertas siasatan berhubung perhimpunan dan perarakan di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka di sini pada 12 Mac lalu sudah lengkap dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya, esok.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, setakat ini, tiada individu lain selain tujuh individu termasuk penganjur perhimpunan berkenaan yang dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes terbabit.

"Kertas siasatan kes itu sudah siap dan kami akan rujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, esok. Setakat ini, jumlah individu yang dipanggil memberi keterangan masih kekal tujuh orang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan polis akan memanggil pihak yang menyertai perhimpunan dan perarakan di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka pada 12 Mac lalu bagi membantu siasatan kerana didakwa melanggar undang-undang.

Noor Dellhan dilapor berkata, perhimpunan terbabit bermula 10 pagi dan berdasarkan pemerhatian, ia disertai kira-kira 150 orang termasuk aktivis hak asasi, mahasiswa dan ahli parti politik menyertai perarakan terbabit.

Menurutnya, mereka memegang plakad antaranya "Imagine If Men Are As Disgusted With Rape As With Periods, Child Not Pride,Trans Women Are Woman, Police Your Behaviour Not My Body" dan lain-lain.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 2:57 PM