Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sehingga petang ini, polis tidak mengesan sebarang perarakan mahupun perhimpunan membabitkan mana-mana kumpulan di ibu kota.

Bagaimanapun, pasukan pematuhan dan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 tetap berkawal di lokasi tertentu yang dijangka menjadi tumpuan khususnya sekitar Dataran Merdeka di sini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya menutup dan melakukan lencongan trafik di 15 laluan menghala ke Dataran Merdeka.

"Selain itu, pasukan pematuhan turut digerakkan ke lokasi tertentu yang menjadi tumpuan orang ramai bagi mencegah mana-mana kumpulan atau individu dikhuatiri akan mengambil peluang mengadakan perhimpunan serta perarakan.

"Setakat ini tidak terkesan mana-mana kumpulan atau individu terbabit dengan aktiviti perhimpunan atau perarakan.

"Tindakan itu (berhimpun dan berarak) pada ketika ini adalah jelas melanggar SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh PPN," katanya dalam kenyataan, hari ini.

KEADAAN Dataran Merdeka lengang selepas ditutup bagi mengelak dijadikan tempat berkumpul peserta perhimpunan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
KEADAAN Dataran Merdeka lengang selepas ditutup bagi mengelak dijadikan tempat berkumpul peserta perhimpunan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.

Noor Dellhan menasihati orang ramai supaya terus mematuhi SOP ditetapkan MKN dalam usaha memerangi wabak Covid-19.

"Kegagalan mematuhi SOP ini membolehkan tindakan diambil di bawah peruntukan undang-undang dan peraturan yang masih berkuat kuasa," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kehadiran ramai pegawai dan anggota penguat kuasa membuat kawalan keselamatan di sekitar pusat bandar susulan penganjuran perhimpunan yang dirancang diadakan di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 7:30 PM