TANGKAP layar video perhimpunan dan perarakan di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka hari ini.
TANGKAP layar video perhimpunan dan perarakan di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka hari ini.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis akan memanggil pihak yang menyertai perhimpunan dan perarakan di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka, di sini, hari ini bagi membantu siasatan kerana tidak mematuhi peruntukan undang-undang.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, polis mengesan perhimpunan terbabit pada jam 10 pagi dan berdasarkan pemerhatian kira-kira 150 orang terdiri daripada aktivis hak asasi (NGO), mahasiswa dan ahli parti politik menyertai perhimpunan terbabit.

Menurutnya, mereka memegang plakad di antaranya "Imagine If Men Are As Disgusted With Rape As With Periods, Child Not Pride,Trans Women Are Woman, Police Your Behaviour Not My Body" dan lain-lain.

"Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

"Kesemua individu yang sedang dikenal pasti terbabit di dalam perhimpunan itu akan dipanggil ke IPD Dang Wangi untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan yang dijalankan dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kertas siasatan ini akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut.

"Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dengan sebarang perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang.

"Tindakan akan diambil kepada mana-mana pihak yang terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 7:04 PM