Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kehadiran ramai pegawai dan anggota penguatkuasa dilihat membuat kawalan keselamatan di sekitar pusat bandar susulan penganjuran perhimpunan yang dirancang diadakan di Dataran Merdeka, di sini, hari ini.

Tinjauan wartawan Harian Metro di Dataran Merdeka mendapati pihak berkuasa mula menutup laluan di sekitar kawasan ini bermula jam 9 pagi.

Terdapat beberapa agensi penguatkuasaan lain turut kelihatan di sekitar Dataran Merdeka termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selain pihak polis.

KEHADIRAN pihak berkuasa di sekitar Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, susulan penganjuran perhimpunan dirancang diadakan, hari ini. FOTO NURUL HIDAYAH BAHAUDIN
KEHADIRAN pihak berkuasa di sekitar Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, susulan penganjuran perhimpunan dirancang diadakan, hari ini. FOTO NURUL HIDAYAH BAHAUDIN

Kawalan keselamatan dilakukan pihak polis juga tidak terhad kepada penutupan jalan malah termasuk pemantauan melalui udara menggunakan helikopter.

Selain itu, terdapat pagar besi setinggi lebih satu meter turut dipasang di sepanjang laluan masuk Dataran Merdeka.

Setakat jam 9 pagi ini, masih tidak kelihatan mana-mana individu yang dipercayai berkumpul untuk menyertai perhimpunan berkenaan.

SUASANA lengang dan hanya kehadiran pihak berkuasa. FOTO NURUL HIDAYAH BAHAUDIN
SUASANA lengang dan hanya kehadiran pihak berkuasa. FOTO NURUL HIDAYAH BAHAUDIN

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Mahkamah Majistret, di sini, semalam, mengeluarkan perintah larangan sebarang perarakan dari Kompleks Sogo dan Masjid Jamek termasuk kawasan dalam radius satu kilometer serta perhimpunan di Dataran Merdeka, hari ini.

Sehubungan itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim dilapor memberi amaran dan melarang semua pihak daripada hadir, berada atau mengambil bahagian dalam perarakan mahupun perhimpunan itu yang jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Selain itu, sebanyak 88 laluan di sekitar ibu kota juga akan dilencongkan berikutan kemungkinan berlaku perarakan dan penganjuran perhimpunan tidak sah, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 9:43 AM