PENASIHAT Persatuan Pengusaha Pencetakan Melayu Malaysia (PPPMM) Muhammed Farhan Basheer.
PENASIHAT Persatuan Pengusaha Pencetakan Melayu Malaysia (PPPMM) Muhammed Farhan Basheer.
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Persatuan Pengusaha Pencetakan Melayu Malaysia (PPPMM) mengesan ada syarikat milik bukan Melayu Islam mencetak dan menjilid bahan bacaan berkaitan Islam, yang boleh menimbulkan persoalan terhadap tahap pematuhan prosedur pengendalian, penyimpanan dan pelupusan sisanya ketika proses penerbitan dilakukan.

Penasihat PPPMM, Muhammed Farhan Basheer berkata, pihaknya menerima maklumat syarikat bukan ahli PPPMM itu mencetak bahan bacaan seperti Yasin, risalah, kitab dan buku agama bagi pihak penerbit swasta, selain menerusi tender jabatan serta agensi kerajaan.

Menurut Muhammed Farhan, PPPMM berpendapat percetakan itu lebih baik dilakukan syarikat percetakan Melayu Islam yang dijamin mematuhi prosedur percetakan kerana bahan bacaan agama lazimnya mengandungi kalimah suci Allah, ayat al-Quran serta hadis.

"Mengambil iktibar isu stokin dengan cetakan kalimah Allah SWT ketika ini, maka terbukti isu berkaitan agama sangat sensitif dan boleh mengancam keharmonian rakyat.

"Justeru, hal itu menuntut ketegasan kerajaan untuk menyekat kejadian serupa berulang.

"Langkah terbaik dalam menjaga kesucian kalimah Allah SWT, ayat al-Quran serta sensitiviti umat Islam sepanjang proses percetakan adalah menguatkuasakan prosedur atau peraturan khusus bahawa mana-mana percetakan bahan itu mesti dilakukan ahli PPPMM.

"Tindakan tegas juga perlu dikenakan terhadap individu, syarikat dan agensi yang menyerahkan pencetakan bahan mengenai agama Islam kepada pencetak bukan Islam kerana ia mendedahkan risiko terhadap kesucian agama (Islam)," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut Muhammed Farhan, ketegasan PPPMM bukan kerana ada kepentingan atau keuntungan perniagaan tetapi untuk menjaga kesucian agama Islam.

Pada masa sama, PPPMM mendukung ketegasan kerajaan sekarang yang amat prihatin dalam soal menjaga keharmonian masyarakat.

"Jadi, biarlah proses mencetak, menjilid dan melupuskan sisa cetakan bahan bacaan mengenai agama Islam ini dilakukan sepenuhnya oleh ahli PPPMM yang bertauliah, berkeupayaan serta tahu hukum hakam.

"Kami memberi jaminan PPPMM mempunyai ahli yang berkeupayaan termasuk dari aspek tenaga kerja, pengalaman serta kepakaran terhadap prosedur percetakan di samping memiliki mesin mencetak naskhah al-Quran juga bahan bacaan berkaitan.

"Tambahan, PPPMM mempunyai kira-kira 100 ahli yang memegang Lesen Mesin Cetak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Lesen Akta Percetakan Teks Al-Quran serta diberi tauliah jabatan agama Islam negeri untuk mencetak al-Quran dan bahan bacaan berkaitan.

"Daripada jumlah itu, kira-kira 30 syarikat mempunyai kapasiti mencetak 10,000 hingga 30,000 naskhah al-Quran dalam masa sebulan," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 8:37 AM