MOHD Na’im, gambar fail. FOTO Bernama
MOHD Na’im, gambar fail. FOTO Bernama
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Putrajaya: Tindakan Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor yang menegur dan kemudiannya memohon maaf kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza berhubung penganjuran konsert seharusnya dihormati semua pihak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, keputusan Wan Salim memohon maaf itu tidak salah dan bersesuaian dengan adab masyarakat Melayu Islam.

"Saya secara peribadi mengenali Mufti Pulau Pinang ini. Beliau seorang yang sangat tawaduk. Apabila penganjur memberikan pencerahan dan penjelasan, beliau dengar.

"Sebagai orang yang tawaduk walaupun ilmunya tinggi, tetapi dia ada rasa hormat. Jadi apa salahnya dia meminta maaf dan adat kita sebagai orang Melayu serta Islam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Profesional SULH-Mediasi (USIM-JKSM) untuk Anggota Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) di sini hari ini.

Sebelum ini Wan Salim membuat teguran terhadap Siti Nurhaliza supaya menunda tarikh konsert berkenaan bagi menghormati ketibaan Ramadan.

Menerusi kenyataan rasmi syarikat yang dinaungi Siti Nurhaliza iaitu Yayasan Nurjiwa, pihaknya nekad meneruskan konsert berkenaan.

Mereka menjelaskan tujuan utama penganjuran adalah bagi mengumpul dana untuk disalur kepada mangsa konflik di Palestin yang memerlukan bantuan segera.

Berikutan itu, Wan Salim kemudiannya, memohon maaf kepada Siti Nurhaliza dan Yayasan Nurjiwa kerana membuat teguran secara terbuka hingga timbul polemik tidak dijangka, sebaliknya hanya fokus berkaitan tarikh penganjuran yang terlalu hampir dengan kehadiran Ramadan.

Sementara itu, Mohd Na'im turut menggesa agar semua pihak termasuk Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahaya melihat kenyataannya berkait hukum bekerja di bank konvensional dengan teliti.

"Saya menghormati kuasa dan bidang kuasa yang ada pada mufti untuk mengeluarkan pandangan atau fatwa. Saya tidak langsung mempertikaikan. Itu asasnya, saya menerima.

"Kedua, kalau pandangan soalan itu membabitkan isu yang boleh menimbulkan kegusaran dan membabitkan isu nasional contohnya perbankan. Perbankan ini bukan hanya berada di Wilayah Persekutuan sahaja, perbankan ini satu Malaysia ada.

"Kalau ia membabitkan nasional, jadi lebih baik rujuk kepada Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan (MKI). Di situ, semua mufti ada. Jadi boleh diselesaikan di situ," katanya.

Beliau dalam masa yang sama turut menasihatkan mufti agar berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan pada masa hadapan.

"Kaji betul-betul dahulu sebelum kita mengeluarkan pandangan. Itu nasihat saya. Saya pun boleh menerima nasihat. Tidak jadi masalah. Sebab Islam itu dibina atas dasar nasihat menasihati antara satu sama lain," katanya.

Selain itu, beliau juga mengharapkan agar adanya satu garis panduan oleh seseorang mufti dalam mengeluarkan sesuatu pandangan.

"Saya mengharapkan supaya ada garis panduan dalam seseorang mufti itu mengeluarkan sesuatu pandangan. Kalau perkara ini tidak menimbulkan kegusaran dalam masyarakat, isu ini tidak timbul. Itu harapan saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 5:46 PM