Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) menyasarkan untuk mewujudkan lebih 5,000 syarikat pemula niaga dan lima syarikat berstatus 'unicorn' menjelang akhir 2025 menerusi pelaksanaan program MYStartup.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata inisiatif MYStartup bertujuan untuk memperkasakan ekosistem pemula niaga di negara ini dengan peruntukan sebanyak RM20 juta seperti diumumkan dalam Bajet 2022.

Beliau berkata inisiatif itu disasarkan untuk menyokong pembangunan dan perkembangan syarikat pemula niaga secara mampan dalam jangka masa panjang menerusi pelbagai program antara lainnya, MYHackathon 2022, MYStartup Pre-Accelarator, MYStartup Accelarator dan MYStartup Mentorship selari dengan Konsep Keluarga Malaysia.

"Sebelum kita lancarkan inisiatif ini, kita telah melancarkan Pelan Halatuju Startup Kebangsaan (Super) 2021-2030. MYStartup merupakan portal yang sangat penting kerana membolehkan akses pada maklumat yang boleh dikongsi oleh semua pemegang taruh dalam ekosistem pemula niaga ini, selain menjadi sebahagian daripada pelan hala tuju Super.

"Cradle yang menjadi agensi focal point bagi ekosistem pemula niaga telah diberi mandat untuk memastikan strategi ini mampu memberi manfaat kepada ekosistem secara keseluruhan," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Program MYStartup itu, di sini, hari ini.

Penubuhan platform MYStartup itu adalah antara 16 intervensi di bawah lima Penjana Ekosistem menerusi Pelan Super 2021-2030 yang dirangka sebagai panduan pembangunan ekosistem pemula niaga negara ke arah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Mengulas lanjut, Ahmad Amzad berkata program itu juga dijangka mampu membimbing syarikat pemula niaga yang memerlukan sokongan dalam menghadapi cabaran di arena pasaran baharu sekali gus meningkatkan keupayaan daya saing dan kebolehpasaran.

Beliau berkata MYStartup merupakan antara inisiatif penting dalam garis panduan Pelan Super yang mempunyai tiga fasa bermula dari tahun 2021 sehingga 2030, dalam usaha memperkasakan ekosistem pemula niaga.

"Fasa pertama iaitu tahun 2021 dan 2022 adalah untuk menjana pertumbuhan pemula niaga, fasa kedua iaitu pada tahun 2023 hingga 2025 adalah untuk perkembangan ekosistem pemula niaga manakala fasa ketiga iaitu tahun 2026 hingga 2030 pula bagi tujuan kita mula ambil langkah menjadi peneraju dalam pemula niaga," katanya.

Menurutnya, antara misi utama Mosti adalah untuk meletakkan Malaysia sebagai satu daripada 20 ekosistem pemula niaga utama global menjelang 2030, yang mana ketika ini negara berada pada kedudukan antara ke-47 dan 48.

Sementara itu, syarikat pemula niaga, pelabur, pemain industri dan pembina ekosistem digalakkan untuk mendaftar di platform MYStartup di www.mystartup.gov.my bagi mendapatkan akses kepada cerapan dan sumber berhubung ekosistem start-up dalam negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Februari 2022 @ 4:20 PM