KUCING peliharaan milik penduduk yang terjejas banjir. FOTO arkib NSTP
KUCING peliharaan milik penduduk yang terjejas banjir. FOTO arkib NSTP
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Banjir yang berulang kali melanda negara, diburukkan lagi oleh perubahan iklim yang dikaitkan dengan pembalakan dan pembangunan berlebihan, bukan sahaja mengorbankan manusia malah haiwan ternakan.

Ketika bencana alam, banyak haiwan ternakan menjadi mangsa namun langkah bagi memindah atau melindungi ternakan berkenaan masih belum dilaksana.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader berkata, kejadian banjir menyebabkan haiwan lemas, trauma, kejutan, patah anggota badan, kehilangan darah dan dehidrasi seterusnya menyebabkan banyak yang mati.

Katanya, berikutan kerugian yang dialami penternak dan kepentingan ternakan bagi manusia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) disaran mengambil alih kepimpinan dalam mengurangkan risiko bencana dan pengurusan haiwan.

"Peranan itu wajar diurus pihak berkaitan termasuk kebajikan haiwan di seluruh negara. Doktor haiwan kerajaan boleh membantu mencegah penderitaan atau kematian awal dengan merawat haiwan yang ditimpa bencana, termasuk menamatkan penderitaan haiwan yang tidak dapat dibantu.

"Berikutan itu, sebarang pelan bencana yang boleh dilaksana mestilah menggariskan peranan dan tanggungjawab doktor haiwan swasta, pemilik dan penjaga ternakan, penternak dan pemilik haiwan lain," katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohideen berkata, menurut penternak di Terengganu, banjir pada Disember lalu menyebabkan mereka kerugian RM3.47 juta dan walaupun pada hakikatnya haiwan berkenaan boleh berenang atau cuba melarikan diri jika tidak ditambat atau dikurung, ia biasanya lemas atau mati akibat terdedah di dalam air banjir.

Manakala JPV Terengganu pula melaporkan, 43,789 haiwan iaitu lembu, kerbau, kambing, biri-biri, itik, puyuh dan rusa menjadi mangsa banjir dengan ayam menjadi mangsa yang paling banyak.

Katanya, pada masa ini, bantuan dan usaha pemulihan oleh kerajaan hanya tertumpu kepada orang ramai dan tiada kesediaan, pencegahan atau pemulihan yang tertumpu kepada haiwan atau ternakan.

"Bagi membantu menyediakan doktor haiwan untuk penjagaan kecemasan ternakan dalam bencana seperti banjir yang berulang di Malaysia, Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH) turut menerbitkan Garis Panduan WOAH mengenai Pengurusan Bencana dan Pengurangan Risiko Berkaitan dengan Kesihatan dan Kebajikan Haiwan bagi negara anggota.

"Doktor haiwan amat penting di barisan hadapan dalam bantuan bencana dan pada bulan pemulihan berikutnya, malah terdapat banyak cara bagi menambah baik tindak balas bencana berkaitan dengan ternakan," katanya lagi.

Menurut Mohideen, penggubal dasar di Malaysia masih belum membuat rancangan bagi menyelamatkan dan membantu haiwan ternakan semasa atau selepas bencana, walaupun haiwan ini penting kepada ramai.

Katanya, sudah tiba masanya bagi JPV meninjau sumber yang diperlukan, menentukan peranan dan tanggungjawab mereka yang terbabit seperti doktor haiwan, pemilik ternakan, penternak dan pelajar veterinar selain mewujudkan serta menguatkuasa dasar berkaitan perlindungan juga penjagaan ternakan.

"Pelan ini juga bukan semata-mata berkaitan menyelamatkan haiwan pada masa bencana, ia mestilah termasuk persediaan dalam jangka masa panjang.

"Tanpa campur tangan dalam penyelamatan ternakan, ia mungkin mati akibat kekurangan makanan, air dan penyakit akibat daripadanya selain menyebabkan kerugian kewangan kepada penternak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 1:18 PM