SEBAHAGIAN mangsa penipuan pelaburan membawa sepanduk di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul. FOTO Owee Ah Chun.
SEBAHAGIAN mangsa penipuan pelaburan membawa sepanduk di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul. FOTO Owee Ah Chun.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Impian seorang wanita menikmati persaraan bersama suaminya lebur selepas kerugian lebih RM1 juta ditipu skim pelaburan dipercayai didalangi syarikat dari Hong Kong.

Wanita berusia lingkungan 50-an itu antara sekitar 100 mangsa penipuan pelaburan bermodelkan tabung amanah, Islamic Redeemable Share (IRPS), info memorandum dan sukuk yang ditawarkan dalang asing terbabit menggunakan lima syarikat tempatan.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Rahmah berkata, dia dan suami menggunakan wang simpanan peribadi dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk melabur dalam tawaran saham berkenaan.

"Saya sertai sejak 2020 selepas ditawarkan oleh seorang ejen yang dikenali. Saya tertarik dengan sebuah syarikat yang ditawarkan kerana prestasinya bagus dan dijanjikan pulangan lumayan.

"Pada awalnya tidak berasa curiga kerana setiap transaksi dilakukan secara profesional. Ejen terbabit juga menunjukkan segala dokumen sah berkaitan syarikat yang ingin dilabur itu.

"Namun, impian kami sekeluarga musnah apabila tidak menerima langsung dividen yang dijanjikan. Malah, jumlah kerugian amat besar sangat memberi kesan kepada saya kerana ada anak yang masih menuntut di universiti," katanya pada sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini, hari ini.

Turut hadir Penasihat Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO), Tan Sri Musa Hassan.

Seorang lagi mangsa, Fazlifah Awang, 48, dia mengalami kerugian mencecah RM300,000 akibat ditipu sindiket sama.

"Saya sertai sejak 2019, mereka (ejen) menjanjikan pulangan imbuhan sebanyak 30 peratus. Pada mulanya dapat, tetapi selepas setahun modal pokok dan imbuhan tidak dipulangkan. Saya terus buat laporan polis.

"Saya e-mel dan telefon tidak berangkat. Ejen pula menghilangkan diri. Bila saya laporkan pada MHO, tidak sangka ramai juga senasib dengan saya," katanya.

Sementara itu, Setiausaha MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, setakat ini, seramai 100 mangsa sudah meminta bantuan pihaknya bagi menyelesaikan masalah itu.

Menurutnya, dianggarkan lebih kurang 150 laporan dibuat berhubung pelaburan berkenaan dengan jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM830 juta.

"Dua syarikat dari Hong Kong ini menggunakan syarikat Berhad di Malaysia. Umum tahu bila dengar Berhad ini seolah-olah tersenarai di Bursa Malaysia.

"Mereka menjanjikan pulangan 15 hingga 17 peratus bagi setiap pelaburan bagi menarik minat pelabur.

"Syarikat berhad ini menggunakan terminologi info memorandum dan menjual logo Suruhanjaya Sekuriti (SC) bagi meyakinkan mangsa," katanya.

Hishamudin berkata, syarikat tempatan terbabit, turut mempergunakan nama-nama bekas pegawai tinggi kerajaan bagi memperkuatkan lagi tipu daya mereka.

Katanya, selain syarikat berhad sindiket terbabit turut menggunakan dua syarikat unit amanah berdaftar sebagai proksi bagi memindahkan wang mangsa ke luar negara.

"Saya tak kecam pelabur kerana mereka lihat syarikat ini adalah syarikat sah berdaftar malah ada juga yang tawarkan pelaburan hingga ke Australia.

"Saya tak salahkan mana-mana agensi penguatkuasaan. Tetapi saya mohon kepada semua termasuk kerajaan supaya mengambil tindakan untuk mendapatkan pembelaan kepada mangsa ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 1:39 PM