Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) menganggarkan kerugian RM1 bilion angkara 'scammer' skim pelaburan berdasarkan kajian lapangan dan aduan yang sudah diterima setakat ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, ia dianggarkan membabitkan hampir 4,000 pelabur yang menjadi mangsa dan setakat ini lebih 500 laporan polis sudah dibuat seluruh negara.

Beliau berkata, penipuan pelaburan bermodelkan tabung amanah, Islamic Redeemable Share (IRPS), info memorandum dan sukuk yang ditawarkan dengan menggunakan lima syarikat tempatan.

"Ada yang melabur berjuta-juta ringgit dengan kebanyakannya menggunakan wang persaraan termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)."Malah ada individu berstatus Tan Sri, berjawatan peguam serta profesional lain turut menjadi mangsa," katanya dalam sidang media selepas menyerahkan dokumen aduan terkumpul membabitkan sebahagian daripada mangsa, di pejabat Suruhanjaya Sekuriti (SC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Penasihat MHO, Tan Sri Musa Hassan.

Beliau berkata, pihaknya meminta agensi siasatan SC menyiasat syarikat yang terbabit kerana disyaki sudah melakukan penipuan menggelapkan wang pelabur.

Seorang mangsa Anisa Talib, 45, berkata dia melabur dalam syarikat kerana percaya apabila ditunjukkan sijil dan laporan mengatakan syarikat itu sah termasuk mempunyai perakuan SC.

"Saya menggunakan semua wang simpanan peribadi untuk anak dan masa hadapan saya dalam pelaburan ini.

"Menyedari ditipu turut menyebabkan pergolakan rumah tangga apabila saya hampir bercerai.

"Sekarang saya mengalami kemerosotan kesihatan dan tekanan perasaan. Saya harap pihak berkenaan dapat bantu menyelesaikan masalah kami," katanya yang melabur ratusan ribu simpanannya pada penghujung tahun lalu.

Pesara, Harun Mohd Yunus, 66, pula berkata wang KWSP sebanyak RM250,000 miliknya habis licin apabila dilaburkan kesemuanya dalam skim pelaburan diperkenalkan rakan isterinya.Beliau berkata, jika ikutkan kiraan pulangan atau dividen yang ditunjukkan sememangnya boleh mendapat untung.

"Selepas melabur pada penghujung 2021, saya dapat pulangan hanya selama empat bulan dari Januari hingga April 2022 iaitu sekitar RM6,000 sebulan ke dalam akaun saya."Kemudian sehingga kini tiada lagi wang pulangan yang dimasukkan dalam akaun saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 1:40 PM