Wan Zulkifli (dua dari kiri) ketika pelaksanaan Operasi Bersepadu Jabatan-Jabatan Di Bawah  Kementerian Sumber Manusia Sabah di salah sebuah tapak pembinaan dalam kawasan Sadong Jaya, hari ini. FOTO YUN MIKAIL
Wan Zulkifli (dua dari kiri) ketika pelaksanaan Operasi Bersepadu Jabatan-Jabatan Di Bawah Kementerian Sumber Manusia Sabah di salah sebuah tapak pembinaan dalam kawasan Sadong Jaya, hari ini. FOTO YUN MIKAIL
Yun Mikail

Kota Kinabalu: Majikan dikesan masih lagi gagal memberi gaji minimum mengikut Perintah Gaji Minimum 2022.

Selain itu, majoriti majikan juga didapati membuat pemotongan gaji pekerja tanpa mendapatkan kebenaran Pengarah Tenaga Kerja Negeri.

Kesalahan itu dikesan sepanjang tiga hari Operasi Bersepadu Jabatan-Jabatan Di Bawah Kementerian Sumber Manusia Sabah yang bermula pada 6 Mac lalu.

Majikan di negeri ini juga dikesan tidak membayar atau salah pengiraan pembayaran untuk kerja lebih masa.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah Wan Zulkifli Wan Setapa memaklumkan Perintah Gaji Minimum 2022 berkuat kuasa di Sabah bermula Mei tahun lalu.

"Menerusi pelaksanaannya, majikan perlulah membayar gaji pekerja sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan atau RM57.70 sehari atau RM7.90 sejam iaitu mengikut kadar lapan jam satu hari.

"Bagaimanapun, hasil daripada pemeriksaan dalam operasi memasuki hari ketiga hari ini, kita masih mendapati sebahagian besar majikan belum mematuhi perkara terbabit.

"Selain itu, kita juga mahu memaklumkan bahawa mana-mana gaji pekerja tidak boleh dibuat pemotongan tanpa mendapatkan kebenaran terlebih dahulu dari Pengarah Tenaga Kerja Negeri.

"Hal ini kerana ada potongan tertentu yang tidak boleh dibuat oleh majikan. Oleh itu, mereka perlu mendapatkan kebenaran jabatan agar kita boleh membuat semakan terlebih dahulu sebelum membenarkan sebarang pemotongan dibuat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat pemeriksaan di sebuah tapak pembinaan di Sadong Jaya di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Sabah Dr Mohd Ali Hindia.

Sementara itu, ditanya mengenai alasan yang sering diberikan majikan sepanjang operasi dibuat, Wan Zulkifli menyatakan kebanyakan majikan mengatakan pihak mereka tidak maklum tentang peraturan-peraturan perundangan tersebut.

"Namun kita masih mempunyai budi bicara tetapi tempoh 14 hari bakal diberikan kepada majikan untuk pematuhan dan sekiranya masih gagal berbuat demikian, barulah tindakan berikutnya akan diambil," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, operasi bagi hari pertama dan kedua menyaksikan sebanyak 60 premis membabitkan 39 majikan diperiksa.

"Kita keluarkan notis amaran daripada segi tunggakan dan pematuhan.

"Tunggakan terbabit membabitkan pengiraan awal yang sudah kita buat melebihi RM200,000 dan majikan perlu membayar balik pekerja mereka.

"Turut terdapat beberapa majikan yang kita tegur dengan terus membuka kertas siasatan untuk tujuan pendakwaan serta kompaun kerana membabitkan seksyen berat iaitu aspek kewangan kepada pekerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 3:14 PM