Pegawai Pemeriksa JTK dalam operasi ‘Ops Patuh’. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Pegawai Pemeriksa JTK dalam operasi ‘Ops Patuh’. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Siti A’isyah Sukaimi

TIDAK melaporkan penggajian pekerja asing, potongan gaji tidak sah dan gagal mematuhi perintah gaji minimum antara kesalahan dikesan menerusi operasi Ops Patuh oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di 15 premis perkhidmatan restoran di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya hari ini.

Pengarah Bahagian Standard Perburuhan JTKSM, Mohd Asri Abd Wahab berkata, kesalahan lain yang turut dikesan ialah tiada daftar pekerja, kontrak perkhidmatan tidak lengkap selain tiada penyata gaji.

“Kesalahan tidak mengambil kira bayaran insentif sebagai upah bagi bayaran kerja lebih masa adalah kesalahan yang paling banyak dikesan dalam operasi ini.

“Hampir semua majikan yang diperiksa disyaki melakukan kesalahan itu.

“Ini kerana bayaran elaun dan lain-lain bayaran diterima hendaklah diambil kira sebagai asas pengiraan bagi menentukan kadar bayaran kerja lebih masa,” katanya ditemui selepas Ops Patuh hari ini.

Operasi dijalankan bermula 10 pagi hingga 3 petang itu membabitkan 20 pegawai pemeriksa dari JTKSM Putrajaya dan Pejabat Tenaga Kerja cawangan Bangi sebagai aktiviti pengesanan dan pencegahan awal pelanggaran undang-undang perburuhan yang cenderung dilakukan majikan.

Mohd Asri berkata, justeru, JTKSM menekankan iaitu majikan hendaklah mengutamakan upah dan hak pekerja yang perlu dibayar di bawah undang-undang buruh.

Dalam pada itu, beliau berkata, 15 notis hadir ke pejabat dikeluarkan kepada majikan terbabit atas kegagalan mengemukakan dokumen ketika pemeriksaan dijalankan.

“Sehubungan itu, mereka hendaklah hadir pada tarikh ditetapkan bersama dokumen lengkap untuk diperiksa,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, bagi kesalahan yang dikesan ketika operasi itu, JTKSM akan menjalankan siasatan lanjut dan tindakan pendakwaan atau kompaun akan diambil jika berasas.

“Majikan boleh didenda maksimum sehingga RM10,000 bagi setiap kesalahan yang disabitkan.

“Jabatan ini akan meningkatkan pemeriksaan ke premis penggajian bagi memastikan pematuhan sepenuhnya undang-undang perburuhan negara dan hak pekerja terpelihara,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bagi tahun ini sehingga April, 137 kes sudah didakwa di mahkamah dan 161 kes diberikan tawaran kompaun.

“Di antara kesalahan dilakukan majikan adalah melakukan potongan gaji tanpa kebenaran, membayar gaji lewat, tidak mematuhi gaji minimum, tidak memberikan kontrak perkhidmatan kepada pekerja, tidak membayar gaji kerja lebih masa dan lain-lain kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 11:39 PM