Wan Zulkifli  (dua  dari kanan) melihat bilik  pekerja asing ketika   operasi penguatkuasaan, semalam.
Wan Zulkifli (dua dari kanan) melihat bilik pekerja asing ketika operasi penguatkuasaan, semalam.
HM Digital

Putrajaya: Sebanyak 30 peratus daripada 3,209 permohonan pengambilan pekerja asing bermula Februari sehingga September lalu yang ditolak Kementerian Sumber Manusia adalah berkaitan ketidakpatuhan terhadap Garis Panduan Standard Minimum Penginapan Pekerja (GPSMPP).

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Wan Zulkifli Wan Setapa berkata, jumlah permohonan ditolak itu daripada 7,520 permohonan diterima daripada syarikat sepanjang tempoh berkenaan.

Menurutnya, dari segi penginapan, pelbagai perkara diambil kira antaranya tempat disediakan itu sama ada mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) selain kemudahan asas lain perlu untuk pekerja.

“Penginapan itu mestilah ruang tertutup sepenuhnya tidak kurang daripada 4.5 meter persegi bagi setiap pekerja, malah tandas dan bilik mandi nisbah 1:6 pekerja.

“Setiap pekerja perlu mempunyai katil sendiri dan tidak boleh berkongsi walaupun ada daripada mereka bekerja syif,” katanya pada taklimat penguatkuasaan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Standard Perburuhan, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Rahmat Ismail.

Wan Zulkifli berkata, sebab lain penolakan permohonan berkenaan kerana tidak mengikut gaji minimum ditetapkan kerajaan selain ia dibayar tidak menerusi bank atau penerimaan gaji tidak mengikut tempoh ditetapkan.

Dalam pada itu, beliau berkata, sepanjang tempoh itu, 3,434 permohonan pengambilan pekerja asing diluluskan dan jumlah itu termasuk selepas rayuan dibuat majikan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 6:10 AM