Hajiji Noor. FOTO NSTP.
Hajiji Noor. FOTO NSTP.
Yun Mikail


Kota Kinabalu: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menerima kemasukan beberapa bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno dan Parti Warisan (Warisan) yang mengumumkan keluar parti, baru-baru ini.

Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bekas Adun itu ialah empat Adun Umno iaitu Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk); Datuk Hamid Awang (Balung); Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit) dan Datuk James Ratib (Sugut).

Tiga lagi adalah Adun Warisan iaitu Mohammad Mohamarin (Banggi); Chong Chen Bin (Tanjong Kapor) dan Norazlina Arif (Kunak).

"Semua mereka memang sudah diterima masuk ke dalam Gagasan Rakyat.

"Perkara itu merupakan hak individu untuk mereka menentukan pendirian dan masa depan politik masing-masing.

"Saya sangat mengalu-alukan penyertaan mereka kerana kita mahu memberi fokus kepada satu perpaduan yang jitu selain satu usaha bagi memberi khidmat terbaik kepada rakyat terutama di kawasan masing-masing," katanya.

Hajiji berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Bicara Pemimpin Muda Bersama Ketua Menteri sempena Hari Antidadah Tahun 2023 Peringkat Negeri Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini, hari ini.

Pada 21 Februari lalu, empat Adun Umno Sabah mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta, dan memaklumkan mahu menyertai Gagasan Rakyat di bawah kepimpinan Hajiji.

Turut mengumumkan hal sama adalah tiga bekas Adun Warisan yang keluar parti pada awal bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 5:53 PM