BUNG Moktar, gambar fail.  FOTO NSTP
BUNG Moktar, gambar fail. FOTO NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Umno Sabah kekal dengan pendirian menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, seperti diputuskan Januari lalu.

Perkara itu ditegaskan Ketua Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin bagi menjawab dakwaan mengatakan kepemimpinannya menyokong semula kerajaan pimpinan Hajiji berdasarkan kehadiran beberapa pemimpin Umno dalam barisan Kabinet negeri.

Berikutan itu, beliau menafikan kembali menyokong kerajaan GRS seperti dilaporkan sebuah saluran televisyen yang mengatakan Umno Sabah menyokong semula GRS.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Kinabatangan itu mengakui Barisan Nasional (BN) Pusat pernah mengeluarkan kenyataan menyokong kerajaan GRS pimpinan Hajiji berdasarkan ketetapan di peringkat persekutuan untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.

Beliau bagaimanapun berkata, sehingga kini tiada sebarang resolusi ke arah pembentukan Kerajaan Perpaduan Sabah yang dicapai dalam perbincangan di antara Umno BN yang diwakili bekas Timbalan Ketua Umno Sabah Datuk Yakub Khan.

"Sebelum ini Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pernah mengeluarkan kenyataan bahawa BN memberi sokongan kepada kerajaan GRS pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dengan mengambil kira ketetapan di peringkat Persekutuan yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

"Perbincangan sudah dilakukan Sekteriarat Tetap Kerajaan Perpaduan untuk menyelaras semua parti yang mengasaskannya dan di Sabah kita diwakili oleh bekas Timbalan Ketua Umno Datuk Yakub Khan.

"Bagaimanapun sehingga ke hari ini tiada resolusi yang dicapai, malah pemecatan pegawai lantikan politik dari Umno terus dilakukan. Jadi apakah ini yang dimaksudkan Kerajaan Perpaduan," katanya.

Bung Moktar berkata, beliau sebelum ini menjelaskan mengenai kekeliruan orang ramai khususnya ahli Umno berikutan ada pemimpin parti itu yang masih berada dalam kerajaan GRS sekarang.

Bagaimanapun, katanya, pemimpin terbabit tidak membuat sokongan secara terbuka dan menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Hajiji berbanding beberapa pemimpin lain yang dipecat daripada Umno.

"Pemimpin yang dipecat oleh Umno kerana mereka menyokong secara terbuka dan menandatangani SD serta sudah pun mengisytiharkan keluar daripada Umno," katanya.

Ketika ini beberapa pemimpin Umno dilantik sebagai Pembantu Menteri dalam barisan Kabinet baharu kerajaan GRS, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Batu, Datuk Andi Mohd Suryady Bandy (Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri); Adun Bengkoka, Datuk Harun Durabi (Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri) dan ADUN Sungai Sibuga, Datuk Mohd Hamsan Awang Supain (Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri).

Bekas pemimpin Umno yang dipecat selepas mengumumkan keluar parti baru-baru ini pula ialah Datuk James Ratib (Sugud), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit) dan Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 9:49 PM