Noorazura Abdul Rahman


Bukit Kayu Hitam: Akta bidang kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu dipinda bagi membolehkan penguatkuasa mengambil tindakan terhadap kenderaan asing yang diubah suai untuk kegiatan penyeludupan diesel.

Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Kementerian Kewangan (MOF) akan mencadangkan akta itu dipinda bagi mengekang ketirisan diesel bernilai berbilion ringgit dicatatkan sepanjang 2022.

"Penyeludupan perkara yang semakin menjadi-jadi, sebagai contoh ubah suai kenderaan pikap seakan menjadi trend di mana mereka menyeludup terutama diesel menggunakan kenderaan pikap.

"Sekarang ini tidak boleh diambil tindakan kerana akta (di bawah bidang kuasa JPJ) tidak meliputi ubah suai kenderaan asing.

"Walhal mereka (warga asing) mengubah suai kenderaan dan menyeludup dengan kenderaan yang diubah suai tetapi kita hanya boleh mengkompaun atas sebab penyeludupan diesel itu tetapi kita tak boleh nak kompaun atas ubah suai kenderaan itu.

"Apabila mereka dikompaun atas kesalahan menyeludup diesel, kenderaan itu akan patah balik ke negara jiran, dan kemudian mereka (kemungkinan) mengulangi sekali lagi, berulang kali (kegiatan menyeludup diesel)," katanya selepas melawat Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini, hari ini.

Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2023, mendedahkan wujudnya ketirisan subsidi diesel dengan anggaran hampir RM10 bilion sepanjang tahun lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata pihaknya sudah meminta jabatan di bawah kementeriannya menyediakan kertas cadangan berkenaan (pindaan akta) supaya ubah suai kenderaan asing terpakai dalam akta JPJ.

Katanya, usaha bersepadu antara Kastam dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)juga perlu dilakukan bagi memantau stesen minyak yang beroperasi di sekitar sempadan negara selain kerjasama dengan pihak stesen minyak agar penyeludupan itu dapat dihalang.

"Ada stesen petrol di sini (Bukit Kayu Hitam) sengaja menjual (diesel lebih had) kepada kenderaan asing sebagai contoh mereka (kenderaan asing) dibenarkan isi 20 liter diesel, namun kita dapati kenderaan asing ini isi diesel begitu lama sebab ruang tangki mereka diubah suai.

"Jadi kerjasama dengan syarikat penjual minyak di sini pun ada tujuh, lapan petrol stesen di sini hendaklah diadakan juga serta usaha bersepadu bersama jabatan berkaitan, baru lah boleh kurangkan ketirisan diesel dan ron 95 dan minyak masak," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Kastam Kedah membuat kutipan hasil berjumlah RM1.45 bilion pada tahun lepas dengan kutipan hasil di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam merekodkan sebanyak RM284 juta.

ANTARA diesel seludup yang berjaya dirampas tahun lalu.
ANTARA diesel seludup yang berjaya dirampas tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 1:50 PM