Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Hari-hari dilalui suram selepas disahkan menghidap barah payudara, tahun lalu, malah Juniada Ismail mengakui berdepan kemurungan kerana terlalu bimbang sel kanser merebak.

Suri rumah berusia 42 tahun itu berkata, dia juga risaukan nasib lima anaknya, Muhammad Adi Putra Rofairus, 13; Nur Maisarah Damia, 12; Muhammad Arif Irfan, 11; Muhammad Akif Amsyar, 9; dan Muhammad Anas Hakimi, 6, yang kesemuanya masih bersekolah.

Katanya, dia sudah menjalani pembedahan membuang sel kanser tahun lalu dan bermula esok perlu meneruskan rawatan radioterapi di Hospital Pulau Pinang (HPP).

"Bagaimanapun, doktor ada memaklumkan kemungkinan perlu menjalani pembedahan kedua sekiranya sel kanser terus aktif.

"Saya bimbang dan mengalami kemurungan disebabkan penyakit ini, apatah lagi memikirkan kekangan kewangan yang kami hadapi dan kanser yang merebak," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Semela di sini, hari ini.

Menurutnya, suaminya Rofairus Mohamad, 46, hanya bekerja sebagai pemandu lori sebuah syarikat pembersihan dan terpaksa mengambil cuti untuk menjaganya sepanjang rawatan di hospital.

JUNIADA menerima sumbangan daripada wakil CSM. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
JUNIADA menerima sumbangan daripada wakil CSM. FOTO Zuliaty Zulkiffli.

"Saya bimbangkan anak-anak kerana mereka masih kecil dan banyak wang yang perlu dibelanjakan untuk kos rawatan saya," katanya yang menghidap kanser tahap tiga.

Mengimbas detik pertama kali dimaklum penyakit itu, Juniada berkata, dia mengetahuinya pada Mac 2022 iaitu kira-kira dua minggu sebelum umat Islam menyambut Ramadan.

Katanya, semuanya bermula dengan ketulan di bawah ketiak kiri yang pada mulanya dianggap bengkak biasa, sebelum payudara berubah seperti kulit limau buruk.

Dalam pada itu, Juniada menerima kunjungan rombongan Cancer Survivors Malaysia (CSM) diketuai Pengerusinya Zuraini Kamal yang menyampai sumbangan.

Zuriani berkata, pihaknya akan terus memberi sokongan kepada Juniada dalam memastikannya sentiasa cekal dan positif sepanjang melawan kanser.

Orang ramai yang ingin membantu dan meringankan beban keluarga ini boleh menghulurkan sumbangan di akaun BSN 0212229000002339 atas nama Juniada Ismail.

JUNIADA (kanan) melihat dokumen hospital dan maklumat janji temu ditetapkan untuknya bagi merawat kanser payudara. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
JUNIADA (kanan) melihat dokumen hospital dan maklumat janji temu ditetapkan untuknya bagi merawat kanser payudara. FOTO Zuliaty Zulkiffli.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2023 @ 4:01 PM