Zuliaty Zulkiffli

Langkawi: "Seandainya masih ada peluang, kami mahu menghabiskan masa bersama Muhammad Ammar hingga ke akhir hayatnya dan tunaikan segala impiannya.

"Setakat ini Alhamdulillah kesihatannya makin baik dan dia sangat gembira apatah lagi hasratnya untuk ke Underwater World Langkawi tercapai," kata Farah Wahida Md Ishak, 38, ibu kepada Muhammad Ammar Mohd Suhaimi, 8, yang menghidap kanser neuroblastoma (saraf) tahap empat.

Sebelum ini, doktor menjangkakan Muhammad Ammar hanya bertahan lima bulan selepas kanser yang dihidapinya sudah merebak dan tiada rawatan lagi untuk kanak-kanak itu.

Menurut Farah Wahida, menurut jangkaan doktor, ini adalah bulan terakhir anak keempat dari lima beradik itu untuk hidupnya dan kesempatan itu diluangkan sepenuhnya untuk mereka sekeluarga demi menggembirakan Muhammad Ammar.

Berikutan itu, Persatuan Canser Survivors Malaysia (CSM) merealisasikan impian Muhammad Ammar yang berhasrat untuk mengunjungi Underwater World Langkawi di sini yang sememangnya sudah lama diimpikannya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu.

CSM menaja sepenuhnya perjalanan termasuk pengangkutan feri, penginapan di Hotel Adya Kuah, lawatan ke Wildlife Park and Bird Paradise, kereta kabel Gunung Macincang dan menikmati pemandangan mewah di atas kapal mewah serta mengunjungi Underwater World Langkawi sempena Hari Kanser Sedunia.

Farah Wahida berkata, kegembiraan jelas terpancar di wajah Muhammad Ammar sebaik melangkah ke pulau ini dan menghabiskan percutian selama tiga hari dua malam seolah dia melupakan seketika penyakit yang dihidapinya.

Katanya, paling seronok apabila Ammar dapat melihat pelbagai spesis ikan yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini di Underwater World Langkawi.

"Muhammad Ammar juga sudah bersekolah di tahun dua Sekolah Kebangsaan Tunku Intan Shafinaz, Pendang dan kesihatannya juga semakin baik," katanya.

MUHAMMAD Ammar bersama Zuraini (kanan) ketika mengunjungi Underwater World Langkawi. FOTO Zuliaty Zulkiffli
MUHAMMAD Ammar bersama Zuraini (kanan) ketika mengunjungi Underwater World Langkawi. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Farah Wahida dan suaminya, Mohd Suhaimi Zakaria, 44, yang masing-masing bekerja sebagai kerani sekolah di daerah Pendang juga tidak putus berdoa supaya anak mereka dipanjangkan umur walaupun reda dengan ketentuan Ilahi.

Katanya, sebagai ibu, dialah orang yang paling sedih sekiranya apa-apa berlaku pada Ammar tetapi terus berdoa supaya anaknya dipanjangkan usia.

Sementara itu, Pengerusi CSM, Zuraini Kamal yang turut menyertai rombongan Muhammad Ammar ke pulau ini bersyukur kerana dapat menunaikan impian pesakit kanser kanak-kanak itu.

Beliau berkata, sebaik terbaca di Harian Metro mengenai impian Muhammad Ammar hendak ke Underwater World Langkawi, pihak CSM cuba sedaya untuk memenuhi impiannya.

"Setiap tahun kita meraikan Hari Kanser Sedunia pada 4 Februari dengan tema "Rapatkan Jurang Penjagaan Kanser" dan tahun ini pihak CSM ingin meraikan impian adik Ammar supaya dia lupakan seketika kanser yang dihadapinya.

"Pihak CSM juga amat berterima kasih kepada pihak Harian Metro kerana menyiarkan kisah adik Muhammad Ammar ini dan dia nampak kuat berjuang melawan kanser saraf yang dihidapi sejak dua tahun lalu," katanya.

Kisah Muhammad Ammar pernah disiarkan Harian Metro pada September tahun lalu apabila ibu bapanya redha apabila doktor menjangkakan anak mereka hanya mampu bertahan lima bulan selepas kanser saraf yang dihidapinya sudah merebak.

Kanak-kanak itu pernah diraikan dengan kostum Ultraman, Mickey dan Minnie Mouse sempena lahirnya serta berpeluang menaiki jentera Bomba di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar tahun lalu demi merealisasikan impiannya menjadi anggota Bomba.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Februari 2022 @ 12:55 PM