Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Dia dilahirkan normal, namun pada usianya tiga bulan, doktor mengesahkan Nur Ain Balqis Mohd Khair, 13, menghidap kanser mata menyebabkan dia kini buta.

Menurut ibunya, Hassilawati Salim, 45, ketika usianya tiga bulan, dia menyedari mata sebelah kanan anak tunggalnya itu berubah warna ketika berada di bawah sinar lampu.

Katanya, disebabkan bimbang melihat keadaan anaknya itu, dia membawa Nur Ain Balqis ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

"Saya terkejut apabila dimaklumkan anak saya disahkan menghidap kanser mata dan perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) ketika itu.

"Saya dan suami terpaksa membawanya ke sana dengan segera dan ketika itu, Nur Ain Balqis menjalani enam kali rawatan kimoterapi untuk menyelamatkan nyawanya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Nelayan Aman Makmur, Tanjung Dawai, Merbok, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, menurut Hassilawati, ketika anaknya berusia tujuh tahun, mata kirinya pula merebak akibat kanser berkenaan menyebabkan doktor tiada pilihan melainkan terpaksa membuang kedua-dua bebola mata anaknya itu.

Katanya, sebagai ibu dia berserah dengan apa yang dilakukan demi untuk menyelamatkan nyawa anaknya itu walaupun sebenarnya tidak sanggup melihat penderitaan yang perlu diharungi anaknya.

"Anak saya kini dikategorikan sebagai buta malah disahkan pula kanser tulang selepas dia terjatuh ketika melakukan aktiviti di sekolah menyebabkan dia terpaksa menjalani pembedahan tulang di kaki kirinya pada 17 November tahun lalu yang diuruskan sepenuhnya oleh Majlis Kanser Nasional (MAKNA).

"Dia juga menerima sumbangan kerusi roda untuk memudahkan pergerakannya kerana tidak nampak dan kalau nak berjalan, kami terpaksa tengok dia kerana bimbang dia jatuh," katanya.

HASSILAWATI (kanan) melihat anaknya, Nur Ain Balqis yang kini buta belajar menggunakan mesin braille di rumah mereka. FOTO Zuliaty Zulkiffli
HASSILAWATI (kanan) melihat anaknya, Nur Ain Balqis yang kini buta belajar menggunakan mesin braille di rumah mereka. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Menurutnya, hasil pemeriksaan doktor memberitahu jantung anaknya kini lemah dan perlukan perhatian sewajarnya menyebabkan dia bimbang keadaan anaknya itu.

Katanya, disebabkan itu, suaminya, Mohd Khair Hassan, 54, membeli sebuah kereta Proton Wira terpakai dengan menggunakan wang yang ada untuk memudahkan mereka berulang alik ke Pulau Pinang.

"Suami pula diberhentikan kerja sebagai nelayan bot bilis ketika kami sibuk menguruskan anak kami ke hospital kerana kalau Nur Ain masuk hospital, kami berdua kena tinggal di sana sekurang-kurangnya lima hari atau seminggu.

"Saya perlu menjaga Nur Ain di dalam wad manakala suami pula tinggal di rumah tumpangan di kawasan hospital yang disewa RM250 seminggu sehingga anak kami keluar wad," katanya.

Hassilawati berkata, sejak itu, dia dan suaminya perlu membawa Nur Ain Balqis menjalani rawatan susulan di Hospital Pulau Pinang (HPP) termasuk kimoterapi seterusnya dan kos perbelanjaan ke sana diperlukan sekurang-kurangnya RM500.

"Sebelum ini kami terpaksa meminta bantuan jiran kerana tiada kenderaan untuk ke HPP dan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan tidak cukup untuk menampung perbelanjaan kami di sana selain perbelanjaan harian," katanya.

Menurutnya, anaknya sebelum ini bersekolah di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Sungai Petani tetapi tidak bersekolah ketika memasuki Tingkatan Satu kerana tiada perkhidmatan pendidikan khas di negeri ini untuk pelajar sekolah menengah.

Katanya, disebabkan itu, anaknya hanya belajar melalui dalam talian menggunakan mesin braille dan mendengar melalui telefon bimbit.

"Dia ada minta belikan komputer riba untuk memudahkan dia belajar menggunakan tulisan braille tapi kami tak ada duit lagi sebab saya pula tak bekerja dan bergantung harap sepenuhnya dengan wang bantuan JKM yang diterima setiap bulan.

"Sekarang suami hanya mengikut jiran keluar menangkap ikan dengan upah yang tidak menentu setiap hari, kadang-kadang boleh dapat RM100 dan ada kalanya tangkapan kurang, hasil pun kurang," katanya.

Menurutnya, dia berharap ada pihak yang sudi membantu dia dan suaminya untuk perbelanjaan mereka ke HPP dan orang ramai yang berminat untuk memberi sumbangan boleh menghubunginya di talian 0111-2660648.

HASSILAWATI menunjukkan bebola mata anaknya yang terpaksa dibuang akibat kanser mata. FOTO Zuliaty Zulkiffli
HASSILAWATI menunjukkan bebola mata anaknya yang terpaksa dibuang akibat kanser mata. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 12:22 PM