Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen hari ini melepas dan membebaskan bekas pengarah syarikat pembekal ubat serta bekas ketua pegawai kewangannya, daripada pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM1.2 juta kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Gulam Rusol Md Ismail, 60, dan Kamaruzzaman Kamaludeen, 50.

Ia berikutan ada kecacatan pada pertuduhan berkenaan berdasarkan keterangan saksi pendakwaan, eksibit dan hujahan yang dikemukakan.

"Pendakwaan gagal menyatakan secara lengkap butiran palsu yang didakwa memperdayakan MOA.

"Mereka dilepas dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri bagi pertuduhan masing-masing," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Azmi dan Natrah Fareha Rahmat, manakala Gulam Rusol dan Kamaruzzaman masing-masing diwakili peguam, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin serta Muhammad Irzan Iswatt Mohd Noor.

Pada 17 Julai 2020, Gulam Rusol selaku Pengarah Natureceuticals Sdn Bhd, mengaku tidak bersalah atas kesalahan mengemukakan tuntutan bayaran balik pembelian mesin pelekat bungkusan berjumlah RM1.225 juta kepada MOA.

Dokumen itu dikatakan mengandungi butiran palsu iaitu salinan invois Nothern Petrochem Sdn Bhd, salinan pesanan pembelian Natureceuticals Sdn Bhd, dua salinan baucar pembayaran dan cek Maybank, sedangkan pembelian mesin itu tidak pernah dibekalkan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat MOA di Presint 4, Persiaran Perdana, Putrajaya pada 16 Disember 2014.

Kamaruzzaman pula membuat pengakuan sama atas pertuduhan bersubahat dengan Gulam Rusol untuk melakukan tuntutan palsu berkenaan.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM), yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah dipalsu atau RM10,000 jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 6:52 PM