Norzamira Che Noh


Shah Alam: Polis menahan tiga lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam kes letupan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank di Setia Alam dekat sini, pada 23 Februari lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, tangkapan ketiga-tiga suspek itu dibuat pada Selasa lalu di tiga lokasi berasingan di sekitar Kuang, Gombak dan Meru, Klang.

"Dalam kejadian rompakan itu, ketiga-tiga suspek bertindak meletupkan dua mesin ATM dan melarikan wang tunai berjumlah RM267,150 daripada salah satu mesin berkenaan.

"Salah seorang suspek berusia 43 tahun yang dipercayai dalang ditahan di bengkel tempatnya bekerja selain polis turut merampas sebuah tong gas yang mempunyai tompokan hijau yang dipercayai digunakan untuk meletupkan mesin ATM.

"Dua suspek yang berusia 30 dan 33 tahun pula ditahan di rumah masing-masing di Meru yang mana ketika serbuan dilakukan, mereka sedang mencuci wang hasil rompakan dengan menggunakan cecair peluntur," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Beliau berkata, suspek dipercayai meletupkan mesin berkenaan dengan memasukkan gas ke ruang pengeluaran wang yang diumpil.

Katanya, kerugian keseluruhan berjumlah RM327,150 membabitkan wang tunai berjumlah RM267,150 serta dua ATM yang rosak

Mengulas lanjut, Hussein berkata, semakan polis mendapati ketiga-tiga lelaki tempatan itu mempunyai rekod lampau sabit jenayah dan dadah.

Katanya, polis kini sedang melengkapkan siasatan kes berkenaan seterusnya akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan pendakwaan.

"Susulan penahanan tiga suspek itu, kita juga berjaya menyelesaikan dua lagi kes letupan ATM milik bank yang sama yang berlaku di Meru pada Disember 2020 dan Februari tahun lalu.

"Kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 7 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 436/379 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 5:15 PM
HUSSEIN Omar (dua dari kiri) menunjukkan wang yang dilarikan suspek pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
HUSSEIN Omar (dua dari kiri) menunjukkan wang yang dilarikan suspek pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar