MESIN ATM dan CDM yang gagal dilarikan penjenayah. FOTO ihsan polis
MESIN ATM dan CDM yang gagal dilarikan penjenayah. FOTO ihsan polis
Siraj Mohd Zaini


DUA penjenayah gagal melarikan mesin simpanan wang (CDM) dan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Setia Alam, pagi tadi.

Dalam kejadian 6.43 pagi itu, dua lelaki berjaket hitam cuba mengumpil serta menarik keluar tiga mesin berkenaan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kegiatan jenayah itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan rakaman CCTV, seorang lelaki berjaket hitam dan berseluar pendek dilihat mengumpil mesin terbabit menggunakan besi.

“Kemudian seorang lagi lelaki memakai pakaian sama, memasang rantai serta cangkuk pada mesin berkenaan.

“Bagaimanapun usaha menarik ketiga-tiga mesin itu menggunakan kenderaan gagal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan berhubung kenderaan digunakan suspek berikutan tiada CCTV di luar premis bank berkenaan.

“Nilai kerosakan mesin di bank masih dalam siasatan.

“Tiada pengawal keselamatan bank bertugas dan pintu ke premis mesin CDM dan ATM ditutup automatik pada jam 12 tengah malam dan dibuka jam 6 pagi setiap hari,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 6:10 PM