MESIN ATM di sebuah kedai serbaneka yang diletupkan penjenayah sebelum melarikan wang tunai RM260,000.
MESIN ATM di sebuah kedai serbaneka yang diletupkan penjenayah sebelum melarikan wang tunai RM260,000.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Ruwaida Md Zain


Kuala Lumpur: "Berdasarkan pemerhatian, saya tidak rasa ia adalah letupan mercun. Sebaliknya ia dipercayai berpunca bahan letupan lain termasuk kemungkinan jenis C-4," ujar bekas Ketua Unit Siasatan, Tempat Kejadian Jenayah (CSI), Makmal Forensik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Hamidon Adnan.

Menurutnya, bom itu mungkin digunakan dalam komposisi kecil bagi memastikan letupan terhasil cukup untuk membuka pintu besi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dirompak.

Beliau berkata, C-4 atau Komposisi C-4 adalah jenis bahan letupan plastik pelbagai yang biasa digunakan termasuk dalam aktiviti merobohkan struktur bangunan.

"Bom C-4 lebih popular berbanding trinitrotoluena (TNT). Biasanya C-4 seberat 900 gram cukup untuk memusnahkan tiang konkrit sebesar satu pemeluk.

"Namun ia hanyalah andaian saya berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis dirompak di pekan Meru, Selangor itu. Ada juga kemungkinan penjenayah menggunakan taktik atau bahan lain untuk meletupkan pintu besi mesin ATM itu," katanya ketika dihubungi wartawan.

Hamidon berkata, berdasarkan pemerhatiannya terhadap tindak tanduk dua penjenayah yang meletupkan mesin ATM itu, dia yakin suspek adalah individu berpengalaman, mahir dengan kaedah letupan dan tahu selok belok mesin ATM.

"Jelas penjenayah amat cekap. Mereka amat pantas memasang alat (letupan) pada mesin ATM sebelum bersembunyi di sisi belakang mesin berkenaan.

"Besar kemungkinan penjenayah kemudian menggunakan 'detonator' atau suis peledak untuk meletupkan ATM itu sebelum bergegas mengambil wang di dalamnya," katanya.

Beliau memberitahu, jumlah bahan letupan yang kecil dan 'tepat' memastikan letupan itu hanya merosakkan mesin ATM dan tidak meranapkan seluruh premis.

Ditanya sama ada bom itu mungkin dihasilkan sendiri atau menyerupai bom paip, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan menyerahkannya kepada siasatan polis.

"Saya cuma khuatir jika kejayaan rompakan ini membuatkan mereka (penjenayah) akan menjadi lebih agresif melakukan rompakan di lokasi lain dengan taktik sama selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 9:00 AM