Ali Iqbal


Batu Pahat: Atas dasar keprihatinan serta simpati terhadap kejadian banjir baru-baru ini, syarikat Lionmas Furnishers (M) Sdn Bhd menyahut seruan kerajaan memperkenalkan inisiatif Payung Rahmah melalui pemberian 700 baucar kepada mangsa banjir di seluruh Johor.

Melalui inisiatif itu, setiap mangsa banjir yang layak akan menerima baucar bernilai RM300 dan mereka boleh menggunakannya untuk membeli barangan di Lionmas.

Pengurus Lionmas kawasan Selatan, Zamri Hamzah, berkata kesemua baucar itu akan diagihkan secara berperingkat.

"Melalui baucar itu, mereka boleh membeli peralatan yang rosak akibat banjir di premis kami.

"Lionmas mengambil inisiatif menyertai Inisiatif Payung Rahmah kerana mahu membantu meringankan beban mangsa banjir," katanya selepas Penyerahan Sumbangan Wakalah Zakat Korporat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Pelancaran Inisiatif Payung Rahmah di Lionmas cawangan Batu Pahat hari ini.

SEBAHAGIAN mangsa banjir menerima menerima bantuan zakat dan Inisiatif Payung Rahmah. FOTO Ali Iqbal
SEBAHAGIAN mangsa banjir menerima menerima bantuan zakat dan Inisiatif Payung Rahmah. FOTO Ali Iqbal

Majlis pelancaran itu disempurnakan Setiausaha Politik Kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Suhaizan Kayat yang mewakili Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Hadir sama, Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan dan Pengarah Eksekutif Lionmas, Gan Cheng Swee.

Seramai 300 mangsa banjir di Parlimen Sri Gading menerima bantuan berupa wang tunai, baucar Lionmas serta bakul Rahmah yang mengandungi barangan keperluan asas.

Sementara itu, penerima Rosidah Jamal, 52, berkata bantuan ini dapat meringankan beban di sekeluarga selepas kesemua barangan dalam rumah musnah akibat banjir.

"Tiada satu berjaya diselamatkan, apabila pulang ke rumah selepas lebih seminggu berada di PPS (pusat pemindahan sementara) saya lihat barangan dalam rumah habis rosak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 9:49 PM