Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Sektor kesihatan menerima peruntukan kedua terbesar iaitu sebanyak RM36.3 bilion berbanding RM32.4 bilion tahun lalu.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komponen utama peruntukan itu membabitkan keperluan perolehan ubat ubatan, reagent, vaksin dan bahan guna habis termasuk peruntukan RM3 bilion bagi lantikan baharu secara tetap dan kontrak lebih 1,500 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi.

"Berkait isu kesesakan kemudahan kesihatan kerajaan, beberapa langkah akan diambil. Kapasiti kesihatan negara akan dioptimum dengan menyumber luar pesakit daripada hospital yang sesak kepada hospital lain termasuk hospital universiti, hospital tentera dan hospital swasta.

"Kerajaan juga akan memperkenalkan Skim Perubatan Madani khusus untuk golongan miskin mendapatkan rawatan kesihatan di klinik dan pengamal perubatan am swasta seperti mana yang dilaksanakan kerajaan Selangor. Sebanyak RM120 juta disediakan untuk tujuan ini," katanya. semasa membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Dewan Rakyat, hari ini,

Perdana Menteri berkata, kerajaan turut bercadang hospital kebajikan yang berdaftar sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan diberi pengecualian cukai pendapatan bersamaan amaun perbelanjaan kebajikan.

"Penderma juga akan mendapat potongan cukai sehingga 10 peratus.

"Bagi mengurangkan kesesakan di Hospital Melaka, kerajaan akan membina blok wanita dan kanak-kanak dengan kapasiti 476 katil dengan kos hampir RM700 juta.

"Kerajaan juga akan memulakan kerja awalan untuk menaik taraf sebanyak 26 hospital termasuk pembesaran Hospital Kuala Kangsar, Perak; Jelebu, Negeri Sembilan dan juga Hospital Pontian, Johor yang telah berusia hampir seabad," katanya.

Anwar berkata, kerajaan menyediakan RM80 juta bagi memperkasa Skim Peduli Kesihatan (PEKA B40) dengan turut merangkumi saringan penyakit kencing manis.

Skim itu sudah bermula 2019 yang diperkenalkan kerajaan untuk menyediakan pemeriksaan atau saringan awal khas kepada golongan B40.

"Mulai tahun taksiran 2023, had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan rawatan perubatan akan dinaikkan daripada RM8,000 kepada RM10,000.

"Sebagai tambahan, skop pelepasan ini juga diperluaskan meliputi kos pemulihan gangguan perkembangan saraf seperti Autisme, Down Syndrome dan Specific Learning Disabilities terhad kepada RM4,000," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2023 @ 5:11 PM