Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Hanya ucapan terima kasih dan rasa syukur mampu diucapkan mangsa gempa bumi Hatay, Turkiye apabila disajikan makanan tempatan, Kuru Fasulye yang dimasak khas untuk mereka.

Walaupun masih berduka dengan bencana yang melanda pada 6 Februari lalu, senyuman terukir pada wajah mereka yang sememangnya mengharapkan makanan panas berikutan keadaan cuaca yang sejuk iaitu antara 2 hingga 5 darjah Celcius.

Malah, penduduk terutama kanak-kanak di Kampung Tayfursokmen yang terletak di wilayah Reyhanli, Hatay, Turkiye setia menanti di kawasan khemah sebaik mengetahui sukarelawan sedang menyiapkan makanan tempatan mereka.

Penduduk, Hakki Alkan,50-an, tidak dapat menahan rasa sebak apabila menikmati masakan yang panas yang disediakan.

Katanya, dia bersama penduduk yang lain sememangnya mengharapkan hidangan yang panas berikutan keadaan cuaca yang sejuk.

"Terima kasih kepada semua yang membantu kami di sini dan jasa anda semua tidak akan kami lupakan," katanya yang kehilangan tempat tinggal akibat bencana berkenaan.

Bagi Baris Gokcen, 10, pula, dia bersama beberapa rakannya mula beratur di kawasan berkenaan sejak jam 7 pagi kerana tidak mahu terlepas menikmati hidangan istimewa itu.

"Walaupun ambil masa yang lama tetapi saya bersama kawan-kawan tetap tunggu dan lihat mereka memasak untuk kami," katanya.

Ahli Iman Care bergotong royong memasak makanan sebelum diagihkan kepada  penduduk yang merupakan mangsa gempa bumi di Kampung Tayfursokmen yang terletak di wilayah Reyhanli, Hatay, Turkiye. FOTO GHAZALI KORI
Ahli Iman Care bergotong royong memasak makanan sebelum diagihkan kepada penduduk yang merupakan mangsa gempa bumi di Kampung Tayfursokmen yang terletak di wilayah Reyhanli, Hatay, Turkiye. FOTO GHAZALI KORI

Sementara itu, Timbalan Pengarah Iman Care Abdul Muhaimin Muhammed berkata, pihaknya dengan kerjasama penduduk kampung dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan, International Youth Forum (IYF) menyediakan makanan tengah hari secara gotong-royong untuk 200 penduduk di kampung berkenaan.

"Cuaca di sini sangat sejuk dan mereka memang mengharapkan makanan yang panas, jadi sebab itu kami mengambil inisiatif menyediakan makanan panas iaitu Kuru Fasulye (nasi putih, kambing dan kacang) bagi menggembirakan mereka.

"Memang mencabar sebenarnya dengan suhu sekitar 2 darjah Celcius pada jam 7 pagi, kami mula menyiapkan Kuru Fasuliye dan penat lelah selama lima jam itu hilang apabila melihat mereka menikmati makanan yang kami masak," katanya yang juga Ketua Delegasi Misi Bantuan Gempa Bumi Turkiye-Syria.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2023 @ 12:15 PM