Noh Omar (dua dari kanan) bergambar bersama penerima sumbangan sempena Majlis Penyampaian Sumbangan Anak-anak Yatim Kariah di Masjid Ar-Raudhah, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Noh Omar (dua dari kanan) bergambar bersama penerima sumbangan sempena Majlis Penyampaian Sumbangan Anak-anak Yatim Kariah di Masjid Ar-Raudhah, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjung Karang: Pemergian bapa buat selama-lamanya akibat demam panas kira-kira enam tahun lalu menyebabkan kehidupan dilalui Mohammad Irfan Rayyan Irwan, 6, begitu suram.

Mohammad Irfan Rayyan berkata, dia tidak sempat menatap wajah bapanya, Irwan Ahmed, 35, kerana baru berusia sembilan hari ketika itu.

"Semasa berusia sembilan hari, ayah 'pergi' meninggalkan saya dan ibu menjadikan kehidupan kami berdua gelap seketika kerana hilang tempat bergantung dan bermanja.

"Walaupun perasaan sedih akibat kehilangan orang tersayang masih bersisa dalam diri, namun saya bersama ibu selalu mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan ayah di alam sana," katanya.

Mohammad Irfan Rayyan berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Anak-anak Yatim Kariah di Masjid Ar-Raudhah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Nazir Masjid Ar-Raudhah, Datuk Dr Mohadis Mohd Yasin dan Ahli Parlimen Tanjung Karang Tan Sri Noh Omar.

Dalam pada itu, dia mahu belajar bersungguh-sungguh kerana akan melangkah ke Tahun Satu, tahun depan sekali gus mampu menggembirakan ibunya Siti Norfaizah Istamar, 35.

"Insya-Allah, saya akan bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 9, Jalan Bomba tahun depan dan cita-cita saya mahu menjadi anggota bomba," katanya yang menetap di Taman Seri Bakti, di sini.

Sementara itu, Siti Norfaizah berkata, dia bersyukur dengan sumbangan yang diterima anak lelakinya kerana sekurang-kurangnya dapat membantu membeli barangan persekolahan.

"Meskipun suami tidak akan pulang ke pangkuan kami buat selamanya, tetapi kami reda dan berdoa rohnya ditempatkan di kalangan orang soleh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 8:03 PM