Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 mendedahkan sebanyak 1.1 juta vaksin sudah tamat tempoh antara satu hingga 212 hari.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, ia membabitkan vaksin Cansino, Comirnaty dan AstraZeneca.

Beliau berkata, sehingga April 2022, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membelanjakan sejumlah RM4.462 bilion daripada RM5.577 bilion peruntukan bagi perolehan sebanyak 75.88 juta dos vaksin, terdiri daripada vaksin Comirnaty, AstraZeneca, CoronaVac dan Convidecia.

Beliau berkata, selain itu, bekalan vaksin turut diperoleh daripada kerajaan negeri, pembelian oleh pihak swasta dan sumbangan dari negara luar.

Katanya, sehingga April 2022 jumlah keseluruhan vaksin yang diterima adalah sebanyak 82.85 juta dos.

"Semakan Audit selanjutnya setakat April 2022, sebanyak 71.26 juta dos sudah digunakan dan mempunyai baki sebanyak 11.59 juta dos vaksin.

"Daripada jumlah baki itu, sebanyak 1.1 juta dos vaksin sudah luput tempoh jangka hayat antara satu hingga 212 hari," katanya pada sidang media LKAN 2021, di sini, hari ini.

Pun begitu, LKAN menyatakan, nilai perolehan dos vaksin melalui perolehan kerajaan yang sudah luput tempoh hayat tidak dapat ditentukan pihak audit.

Ia berikutan perekodan vaksin melalui sistem pengurusan dan pemantauan vaksin (VMS) tidak dapat dikategorikan berdasarkan kaedah perolehan vaksin.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2023 @ 3:35 PM