GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Tokyo: Panel kementerian kesihatan Jepun pada Khamis bersetuju mengenai rancangan untuk memberi suntikan vaksin Covid-19 dos ketiga, atau suntikan penggalak kepada semua penduduknya yang telah menerima dua dos vaksin.

Suntikan penggalak dijangka diberikan seawal lapan bulan selepas suntikan kedua selesai.

Tiada keutamaan ditetapkan untuk penerima suntikan penggalak tetapi pemberiannya berkemungkinan pada Disember ini dimulai dengan petugas perubatan, yang juga kumpulan pertama menerima vaksin Covid-19 sejak Februari lalu.

Menurut laporan Jiji Press, kementerian kesihatan dijadual memutuskan secara rasmi pelan suntikan penggalak pada November.

Panel kementerian mengambil kira kaji selidik luar negara yang menunjukkan bahawa kesan pencegahan jangkitan terhadap vaksin pengeluar ubat Pfizer Inc. Amerika Syarikat turun daripada 88 peratus kepada 47 peratus selepas lima bulan untuk semua individu berusia 12 tahun ke atas.

Panel itu juga bersetuju untuk menjamin peluang inokulasi kepada penduduk yang masih belum menerima suntikan vaksin selepas suntikan penggalak bermula.

Jepun menggunakan tiga vaksin Covid-19, masing-masing dibangunkan oleh Pfizer, syarikat biofarmaseutikal AS Moderna Inc dan AstraZeneca PLC Britain.

Kementerian kesihatan mempunyai kontrak perolehan 120 juta dos vaksin Pfizer dan 50 juta dos vaksin Moderna untuk tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 11:00 AM