Rafidah Mat Ruzki dan Suzalina Halid


Putrajaya: Peningkatan mendadak kes Covid-19 di negara ini turut mempengaruhi lebih ramai mendaftar untuk mendapatkan vaksin.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, ketika ini pihaknya merekodkan sebanyak 12,117,091 pendaftaran untuk mendapatkan vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) iaitu lebih daripada 50 peratus populasi negara yang berusia 18 tahun ke atas.

Beliau berkata, setakat ini, seramai 2,913,009 dos vaksin sudah diberi dengan mereka yang sudah menerima dos pertama seramai 1,860,864 manakala mereka yang dos lengkap seramai 1,054,145.

"Pendaftaran kita meningkat dengan mendadak disebabkan kes kita meningkat dengan mendadak.

"Jadi, kesedaran rakyat untuk mendapatkan vaksin bagi perlindungan mereka sudah menjadi keperluan mendesak," katanya pada sidang media media Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) secara maya, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Khairy berkata, berikutan itu, beliau dan Menteri Kesihatan sudah bermesyuarat, bersama-sama semua CITF di peringkat negeri untuk menyegerakan pemberian vaksin susulan kerisauan orang ramai untuk mendapatkan pelalian.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Peningkatan kes Covid di negara ini dilihat semakin membimbangkan terutama sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dengan kes tertinggi dicatatkan pada Sabtu lalu, pada 9,020 kes jangkitan.

Turut menunjukkan peningkatan adalah kes kematian harian akibat Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 6:10 PM