Keadaan kereta Perodua Aruz yang terbabit kemalangan. FOTO Ihsan pembaca
Keadaan kereta Perodua Aruz yang terbabit kemalangan. FOTO Ihsan pembaca
Juwan Riduan


Papar: Seorang maut manakala tiga cedera termasuk seorang parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Kota Kinabalu-Papar, dekat Sekolah Kebangsaan (SK) Gana, di sini hari ini.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, Mohd Noh Hassan, 56, yang menaiki Perodua Aruz disahkan meninggal dunia di lokasi.

Dua yang cedera adalah pemandu kenderaan itu yang berusia 42 tahun dan seorang lagi penumpang lelaki berumur 31 tahun.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah ketika dihubungi memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan babitkan Perodua Aruz dan Proton Satria itu pada 3.38 petang.

Menurutnya, sepasukan 10 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar dikejarkan ke lokasi kejadian untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

"Terdapat tiga mangsa dalam Perodua Aruz dengan seorang disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan, manakala dua lagi cedera termasuk seorang parah (pemandu).

"Turut cedera, pemandu Proton Satria berusia 24 tahun," katanya dalam kenyataan media.

Menurutya, semua mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital dengan ambulans untuk rawatan lanjut, dan operasi ditamatkan pada 4.58 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2022 @ 8:37 PM