Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi bertemu pelabur berpotensi dalam lawatan rasmi tiga hari ke Singapura bermula semalam. FOTO IHSAN MEDKOM
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi bertemu pelabur berpotensi dalam lawatan rasmi tiga hari ke Singapura bermula semalam. FOTO IHSAN MEDKOM
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Johor berpotensi meraih nilai pelaburan antara RM10 hingga RM15 bilion susulan lawatan kerja rasmi delegasi kerajaan negeri ke Singapura, bermula semalam.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata, potensi pelaburan itu mampu dibawa ke Johor menerusi pertemuan-pertemuan yang diadakan bersama pelabur dan pemain industri utama di republik itu.

"Syukur Alhamdulillah, saya memulakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Singapura bermula semalam, bertujuan untuk meningkatkan lagi hubungan baik antara Singapura dengan Johor.

"Di kesempatan ini, delegasi Johor mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Singapura, termasuklah AirTrunk, sebuah syarikat pusat data skala besar yang terbesar di Asia Pasifik dan Jepun selain syarikat Wilhelmsen, satu daripada kumpulan maritim terkemuka di peringkat global.

"Delegasi Johor juga berjumpa dengan beberapa lagi pelabur berpotensi dari lain-lain negara.

"Insya-Allah, nilai potensi pelaburan yang boleh dicapai hasil pertemuan-pertemuan ini adalah sekitar RM10 bilion ke RM15 bilion," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Dalam lawatan rasmi tiga hari itu, delegasi Johor dijadualkan bertemu dengan beberapa Menteri Singapura, selain bertemu dengan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) dan Persekutuan Pengilangan Singapura (SMF).

Turut serta dalam lawatan rasmi itu adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Lee Ting Han.

Onn Hafiz berkata, potensi nilai pelaburan yang besar itu akan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat Johor.

"Selain ribuan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk Bangsa Johor, limpahan ekonomi dan pembangunan yang bakal dijana hasil pelaburan ini, sudah tentu akan membawa lebih kemakmuran kepada rakyat di negeri ini.

"Kesemua ini menunjukkan Johor terus kekal menjadi destinasi pilihan utama bagi pemain-pemain industri bertaraf global," katanya.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri dengan bantuan kerajaan Persekutuan komited untuk menjadi pemudahcara daripada segi penyediaan utiliti dan infrastruktur, sehinggalah kepada insentif cukai, bagi menghasilkan suasana perniagaan yang lebih mesra pelabur dari serata dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2023 @ 3:28 PM