ANWAR akan mengadakan lawatan rasmi sulungnya ke Singapura, esok. FOTO Arkib BERNAMA
ANWAR akan mengadakan lawatan rasmi sulungnya ke Singapura, esok. FOTO Arkib BERNAMA
Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi sulungnya ke Singapura, esok.

Wisma Putra dalam satu kenyataan media hari ini berkata, lawatan rasmi itu atas jemputan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Beberapa memorandum persefahaman antara Malaysia dan Singapura juga dijangka bakal ditandatangani sewaktu lawatan rasmi itu.

Anwar akan diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Lawatan turut disertai Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, serta pegawai dari kementerian dan agensi berkaitan.

Kenyataan itu menyebut, Premier Sarawak, Tan Sri Dr Abang Zohari Abang Openg dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, akan turut menyertai delegasi Perdana Menteri itu.

Wisma Putra berkata, dalam lawatan rasmi itu, Perdana Menteri akan bertemu pemimpin-pemimpin Singapura termasuk Presiden, Halimah Yacob.

Singapura adalah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dan terbesar dalam kalangan negara-negara anggota Asean tahun lalu, dengan jumlah perdagangan berjumlah RM367.53 bilion (AS$83.53 bilion), peningkatan sebanyak 29.4 peratus berbanding jumlah dagangan pada 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 January 2023 @ 9:41 AM