Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
BERNAMA

Kuantan: Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan menyediakan klinik pergigian swasta yang tidak didaftarkan serta menjalankan amalan pergigian secara tidak sah, September lalu.

Intan Nazirah Mohd Rofi, 20, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Maimoonah Aid bagi menukar pengakuan bersalah yang dibuatnya pada prosiding sebelum ini.

Pada 27 Januari lalu, OKS mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan itu, menyebabkan mahkamah menetapkan hari ini untuk fakta dan hukuman.

OKS didakwa melakukan dua kesalahan itu pada 9 malam, 14 September lalu di sebuah premis di Kampung Pak Mahat di sini.

Bagi kesalahan menyediakan klinik pergigian tidak berdaftar, OKS didakwa di bawah Seksyen 4(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 manakala, pertuduhan menjalankan amalan pergigian tidak sah dibuat mengikut Seksyen 62(1) Akta Pergigian 2018.

Setiap pertuduhan itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM300,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pengakuan baharu OKS hari ini, Maimoonah menetapkan 24 Februari ini sebagai sebutan semula kes.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Haznita Zainal Abidin manakala peguam Muhamad Saifuldin Ab Rahman menyebut bagi pihak Ghazali Ismail yang mewakili OKS.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2023 @ 1:50 PM