TERTUDUH ketika dihadap ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya sebelum ini.
TERTUDUH ketika dihadap ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya sebelum ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Wanita warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM25,000 di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor, semalam, selepas mengaku bersalah menjalankan amalan pergigian secara tidak sah, bulan lalu.

Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Noormi Othman berkata, wanita itu didakwa mengikut Akta Pergigian 2018 [Akta 804] pada 7 Jun lalu.

"Tertuduh tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 62(1) Akta 804 di sebuah premis kecantikan di sekitar Bandar Puteri Puchong, Selangor.

"Semasa sebutan kes, tertuduh tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan.

"Namun, ketika sebutan semula dibuat di mahkamah sama, semalam, tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

"Tertuduh juga mengakui fakta kes dibacakan dan gambar barang-barang kes dikemukakan kepadanya," katanya dalam kenyataan malam ini.

Dr Noormi berkata, ketika serbuan dijalankan, tertuduh didapati sedang melakukan rawatan pemasangan veneer kepada seorang pelanggan wanita.

Beliau berkata, sekiranya tertuduh gagal membayar denda, dia boleh dipenjara selama setahun.

"Mahkamah menjatuhkan hukuman itu selepas mempertimbangkan hujah Pendakwa Raya, Muhamad Shafiq Mohd Sazalli yang memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

"Ia juga bagi memberi pengajaran kepada awam kerana kesan amalan pergigian diberikan orang tidak bertauliah akan mendatangkan kesan buruk memandangkan amalan pergigian yang tidak mengikut prosedur boleh mendatangkan bahaya kepada awam.

"Dalam hujahan itu juga, beliau memaklumkan ini adalah kesalahan pertama yang disabitkan di bawah Akta Pergigian 2018 yang baru dikuat kuasa pada 1 Januari lalu supaya masyarakat sedar amalan pergigian hanya boleh dijalankan oleh pengamal pergigian berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia," katanya.

Seksyen 62(1) Akta 804 memperuntukkan larangan menjalankan amalan pergigian oleh seseorang yang tidak didaftarkan di bawah Akta 804.

"Menurut Seksyen 62(2)(g) Akta 804 seseorang disifatkan menjalankan amalan pergigian jika dia memberikan apa-apa rawatan, nasihat atau layanan ke atas mana-mana orang.

"Ia berkaitan dengan memasang atau memasukkan bagi tujuan memasang atau melekapkan gigi buatan atau korona atau jambatan atau perkakas bagi pemulihan atau pengaturan gigi," katanya.

Di bawah Seksyen 62(3) akta sama, mana-mana orang yang melanggar peruntukkan subseksyen 62(1) akta ini dan disabitkan melakukan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan bagi tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Program Kesihatan Pergigian sentiasa komited dalam membendung amalan pergigian haram ini bagi memastikan rawatan dan amalan pergigian yang berkualiti dan selamat disampaikan kepada masyarakat.

Berita berkaitan:

  • Individu pertama didakwa mengikut Akta 804 [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2022 @ 11:21 PM