ANGGOTA Bomba meredah lumpur untuk mengambil mayat kanak-kanak perempuan terdampar di tepi pantai. FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA Bomba meredah lumpur untuk mengambil mayat kanak-kanak perempuan terdampar di tepi pantai. FOTO Ihsan Bomba.
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Mayat kanak-kanak perempuan ditemukan terdampar di tepi pantai berhampiran Jalan Persisiran, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mayat kanak-kanak malang dikenali sebagai Lydia yang juga anak suku Palauh berusia empat tahun.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal dan keterangan ibu mangsa, kanak-kanak itu dipercayai hilang pada 4 pagi ketika mereka tidur di kawasan kaki lima Kompleks Industri Ba Zong.

"Ibu mangsa dikatakan berusaha mencari di sekitar kawasan itu, tetapi gagal menemuinya.

"Bagaimanapun, kira-kira jam 1.30 tengah hari, dia dimaklumkan mayat anaknya ditemukan di tepi pantai berhampiran Taman Jalan Persisiran Tawau," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jasmin berkata, wanita itu mengesahkan mayat itu adalah anaknya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 2.53 petang untuk bantuan khidmat mengambil mayat.

"Sebaik sampai, anggota bomba menggunakan tali dan beg mayat serta meredah lumpur sedalam 0.9 meter untuk mengambil mayat kanak-kanak itu sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Operasi ditamatkan 20 minit kemudian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 7:22 PM