Asrol Awang


Kuantan: Enam daripada tujuh penumpang van persiaran yang terbabit dalam kemalangan maut mengorbankan tujuh nyawa di Kilometer 4.8 di laluan turun Genting Highlands-Kuala Lumpur, dekat sini, semalam, dalam keadaan kritikal.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, lima mangsa menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala seorang mangsa di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAH), Temerloh.

Katanya, semua mangsa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di dua hospital berkenaan.

"Seorang lagi penumpang terbabit yang tidak kritikal kini dirawat di HKL," katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Abdul Razak Mohd Yusoff kepada Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pahang, Senior Asisten Komisioner Noor Hisam Nordin di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan seramai tujuh maut manakala tujuh lagi cedera selepas van persiaran yang dinaiki terbabit kemalangan pada jam 1.15 tengah hari.

Seramai 14 individu menaiki van berkenaan terdiri daripada 12 wanita dan dua lelaki untuk pulang ke Pulau Pinang.

Van terbabit dipercayai terbabas dan melanggar tembok penghadang jalan mengakibatkan tujuh daripada penumpang maut akibat kejadian itu.

Ramli berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama agensi lain termasuk Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bagi mengenal pasti punca kemalangan itu.

"Siasatan akan dilakukan secara menyeluruh," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ramli turut menasihati pengguna jalan raya untuk memastikan kenderaan dalam keadaan selamat apabila berada di jalan raya.

Katanya, keutamaan kepada pengguna jalan raya yang ingin melancong terutama ke kawasan tanah tinggi.

"Kebetulan di Pahang, banyak kawasan pelancongan di tanah tinggi dan jika orang luar tidak biasa dengan jalan seperti di Cameron Highlands, Genting Highlands dan tempat lain, boleh membawa risiko terutama di selekoh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2023 @ 2:15 PM