LAPORAN Harian Metro hari ini
LAPORAN Harian Metro hari ini
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Tujuh individu yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah van persiaran di Kilometer 4.8 di laluan turun Genting Highlands - Kuala Lumpur dekat sini, tengah hari tadi sudah dikenal pasti.

Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, akibat kemalangan itu, pemandu van, Wong Choun Chiet, 49, meninggal dunia di lokasi kejadian bersama lima penumpang iaitu Foong Ah Lan, 67, Lee Moy, 67, Goh Siew Kim, 61, Ang Meng Hong, 62 dan Seow Mee Tin, 72.

Menurutnya, enam lagi penumpang dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) namun seorangnya, Chan Them Kong, 70, meninggal dunia ketika menerima rawatan.

"Dua lagi mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Temerloh untuk rawatan lanjut.

"Van dipandu Choun Chiet bersama 13 penumpang terdiri daripada 12 wanita dan seorang lelaki.

"Hasil siasatan polis mendapati kemalangan berlaku jam 1.15 tengah hari ketika van persiaran berkenaan dalam perjalanan dari Genting Highlands untuk pulang ke Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, apabila sampai di sebuah jalan berselekoh, van persiaran itu hilang kawalan lalu terbabas melanggar konkrit pembahagi jalan di sebelah kanan jalan.

"Kesemua mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu berusia di antara 49 tahun hingga 78 tahun.

"Akibat kemalangan itu, pemandu van serta lima penumpang wanita meninggal dunia di lokasi kemalangan.

"Kita mohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian berkenaan untuk tampil bagi membantu siasatan," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam pada itu, Ramli turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu kenderaan secara berhati-hati dan berhemah serta memastikan kenderaan yang dipandu diselenggara dengan baik dan selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2023 @ 11:37 PM