KEADAAN di Syria masih lagi genting dengan kekurangan jentera berat untuk membantu misi mencari dan menyelamat. FOTO AFP
KEADAAN di Syria masih lagi genting dengan kekurangan jentera berat untuk membantu misi mencari dan menyelamat. FOTO AFP
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Ketika tumpuan dunia diberikan kepada lokasi gempa bumi di tenggara Turkiye, beribu lagi mangsa masih terperangkap atau mati tertimbus di bawah runtuhan di wilayah bergolak Aleppo, Latakia, Hama, Sarmada dan Tartus, Syria.

Kekurangan jentera berat untuk membantu misi mencari dan menyelamat mangsa yang terperangkap merumitkan lagi usaha dilakukan kumpulan sukarelawan Syria dikenali sebagai White Helmets (topi keledar putih ).

Wakil pertubuhan Muslim Care Malaysia (MCM) di Syria, Mahmoud Al-Alewi berkata, gangguan bekalan elektrik turut mengakibatkan usaha merawat mangsa di hospital terjejas.

"Sebanyak 11,000 keluarga kini kehilangan tempat tinggal di Syria kesan gempa bumi sebesar 7.8 magnitud yang berlaku di utara Syria awal pagi Isnin lalu.

"Lebih 5,000 mangsa cedera dan 2,600 kematian dilaporkan setakat ini. Ketika ini operasi menyelamat masih dilakukan bagi membawa keluar seramai mungkin mangsa yang masih hidup.

Peralatan untuk tugas mencari dan menyelamat serta kemahiran dimiliki anggota penyelamat Syria amat terhad. Selepas tiga hari bertungkus lumus menyelamatkan mangsa dari bawah runtuhan, masih terdapat beribu mangsa yang tidak diketahui nasib mereka," katanya.

Menurutnya, beribu keluarga di Syria turut kehilangan tempat tinggal akibat gempa bumi ini selain kehilangan ahli keluarga masing-masing.

"Mereka terpaksa tinggal atau berlindung di kawasan terbuka serta berhadapan dengan gelombang musim sejuk ketika ini. Malah ada juga yang terpaksa berlindung di dalam kediaman yang sudah retak kesan gempa bumi itu.

"Ini adalah malapetaka kemanusiaan besar di Syria yang tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata. Kesengsaraan rakyat serta beban dipikul petugas keselamatan negara ini kesan peperangan berpanjangan sejak hampir 12 tahun menambahkan lagi derita.

"Saya merayu bantuan masyarakat antarabangsa dan dunia Islam termasuk Malaysia untuk membantu menyelamatkan rakyat Syria," katanya.

Sementara itu orang ramai yang mahu menyalurkan bantuan boleh menderma melalui akaun MAYBANK Muslim Care Malaysia 564490413882, Bank Islam 14014010147470, Bank Rakyat 1101744599 selain ke akaun Bank CIMB Pertubuhan Penyayang Islam Malaysia 8604171675.

Slip sumbangan boleh dimaklumkan kepada exco untuk rekod dan dokumentasi melalui Hotline: 011-5005 0035 atau kepada Timbalan Presiden MCM, Mohd Johari Ismail 016-997 8323 dan Setiausaha Agung MCM Ahmad Safuan Ujar 013-488 6447.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2023 @ 12:34 PM