Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) akan melakukan siasatan terperinci sekiranya terdapat aduan mengenai kemasukan pelajar khususnya ke institusi itu dibuat secara datang terus (walk-in) tanpa melalui prosedur sepatutnya.

Ketua Pengarah JPPKK Dr Mohd Zahari Ismail berkata, sehingga kini beliau belum mendapat maklumat lengkap mengenai dakwaan itu.

"Kita kena laksanakan siasatan terperinci, (kerana) saya tidak mendapat maklumat yang lengkap," katanya selepas menyempurnakan majlis Aspirasi Ketua Pengarah JPPKK Tahun 2023 di Politeknik Ungku Omar di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan media bahawa ada pentadbir di politeknik tertentu sedang berjuang dan bergelut sehabis mungkin (struggle) bagi mencari pelajar untuk mendaftar masuk ke politeknik sehingga ada antaranya menawarkan pendaftaran secara walk-in.

Permohonan kemasukan pelajar Sesi Akademik 2023/2024 ke program asasi, sijil, diploma dan ijazah sarjana muda melalui UPUOnline dibuka bermula hari ini hingga 28 Mac depan bagi permohonan fasa pertama dan 15 Mei hingga 12 Jun depan bagi fasa kedua termasuk bagi kemasukan ke 36 politeknik serta 105 kolej komuniti.

DR Mohd Zahari Ismail (tiga kanan) ketika hadir pada Majlis Aspirasi Ketua Pengarah Politeknik dan kolej Komuniti di Politeknik Ungku Omar Ipoh. FOTO L Manimaran
DR Mohd Zahari Ismail (tiga kanan) ketika hadir pada Majlis Aspirasi Ketua Pengarah Politeknik dan kolej Komuniti di Politeknik Ungku Omar Ipoh. FOTO L Manimaran

Sementara itu, Mohd Zahari berkata, tidak seharusnya timbul isu kekurangan pelajar mendaftar di politeknik dikaitkan dengan adanya program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) kendalian institusi yang bernaung di bawah kementerian, jabatan, agensi, atau institusi lain.

Menurutnya, institusi TVET walaupun di bawah kementerian yang pelbagai ia berperanan untuk saling melengkapi antara satu sama lain terutamanya susulan penbuhan Majlis TVET Negara (MTVET) pada 2020 yang kini fungsinya diletakkan di bawah kendalian Kementerian Sumber Manusia (KSM).

"Semua agenda TVET termasuk dari segi keboleh pasaran graduan dan sebagainya akan diselaraskan di bawah MTVET," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Zahari berkata, POLYCC yang merangkumi institusi politeknik dan kolej komuniti masih merupakan penyumbang tenaga kerja teknikal terbesar negara iaitu meliputi 40 peratus dengan kekuatan seramai 10,211 kakitangan serta 98,045 pelajar seluruh negara.

Menurutnya, POLYCC juga berjaya melepasi kadar keboleh pasaran graduannya iaitu 90 peratus sepanjang tiga tahun berturut-turut dengan sepanjang tahun lalu kadar keboleh pasaran graduan politeknik adalah 95.32 peratus dan 96.66 peratus bagi kolej komuniti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2023 @ 2:26 PM