KOLEJ Komuniti Kuala Pilah (KKKP) menggunakan pendekatan dengan menawarkan TVET dan keusahawanan kepada pelajar tahfiz.
KOLEJ Komuniti Kuala Pilah (KKKP) menggunakan pendekatan dengan menawarkan TVET dan keusahawanan kepada pelajar tahfiz.
Suliati Asri


GABUNGAN Pendidikan Agama dengan kemahiran. Ia bukan saja memberikan ilmu agama berterusan kepada masyarakat tetapi juga ilmu kemahiran yang pastinya mampu dipraktikkan sepanjang hayat.

Kesinambungan antara bidang tahfiz dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan sahaja dari sudut spiritual diri, malah dari sudut fizikal perlu pengisian bagi memenuhi tuntutan menjadi seorang Muslim.

Justeru, gabungan bidang kemahiran dan bidang tahfiz menerusi Pendidikan Islam Sepanjang Hayat (PISH) di Kolej Komuniti mampu meluaskan kebolehan kepada pelajar terbabit.

Pada 4 Disember 2017, Pelan Induk Pendidikan Islam Sepanjang Hayat (PISH) 2017 - 2025 dilancarkan.

Pelan itu menggariskan pendekatan bagi memastikan golongan disasarkan bukan sahaja mempunyai sahsiah yang baik tetapi juga mempunyai kemahiran yang dapat mengupayakan diri mereka dan seterusnya meningkatkan taraf kehidupan dan ekonomi negara.

Dua objektif PISH yang digariskan adalah pertama memberikan ilmu kemahiran dan keusahawanan kepada golongan sasaran seperti pelajar tahfiz dan pondok.

Kedua, memberikan kesinambungan Pendidikan Islam berterusan kepada setiap lapisan masyarakat.

Statistik pencapaian PISH di Kolej Komuniti bermula tahun 2014 hingga 2019 menunjukkan peningkatan jumlah kursus ditawarkan dan peningkatan jumlah penyertaan. Sepanjang lima tahun itu, sebanyak 6,384 kursus dan 170,877 penyertaan.

Pada 2019 pula, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk melaksanakan Program Membangunkan Kemahiran Pelajar Tahfiz bersama Kolej Komuniti.

Sebanyak 88 kursus kemahiran dan 1,861 pelajar institusi tahfiz di seluruh negara terbabit dalam pelaksanaan program ini.

Pada 2020, dua program kemahiran dan keusahawanan di bawah inisiatif PISH dijalankan oleh Kolej Komuniti di Pulau Pinang dan Kolej Komuniti di Selangor.

Di Pulau Pinang, empat kolej komuniti bekerjasama dengan Yayasan An-Nahdhoh untuk melaksanakan lima modul kemahiran dan satu program keusahawanan kepada pelajar tahfiz An-Nahdhoh.

Lima modul kemahiran itu merangkumi bidang kulinari, pastri, elektrik, guntingan rambut dan jahitan pakaian.

Di Selangor pula, Kolej Komuniti Selayang dan Kolej Komuniti Kelana Jaya bekerjasama menjalankan program pastri dan keusahawanan kepada kariah Masjid Al-Faizin Shah Alam yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU).

Kedua-dua program terbabit mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan peserta dan program ini diteruskan pada tahun ini. Semua kolej komuniti di negeri-negeri lain juga akan mengguna pakai model pelaksanaan program ini.

Berdasarkan Belanjawan 2021, sebanyak RM29 juta diperuntukkan bagi melaksanakan program TVET di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Antara inisiatif yang dinyatakan adalah pendidikan Islam dan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) kepada 15 ribu pelajar di institusi tahfiz dan pondok.

GABUNGAN bidang kemahiran serta bidang tahfiz, mampu meluaskan kebolehan kepada pelajar terbabit.
GABUNGAN bidang kemahiran serta bidang tahfiz, mampu meluaskan kebolehan kepada pelajar terbabit.

Melalui inisiatif ini, JPPKK merancang untuk memperbanyakkan peluang pendidikan kemahiran dan teknikal kepada pelajar di institusi tahfiz dan sekolah pondok melalui program PISH.

Perluasan inisiatif PISH dilaksanakan semua kolej komuniti yang memfokuskan kepada memberikan ilmu kemahiran dan keusahawanan kepada golongan sasaran iaitu pelajar di institusi tahfiz dan sekolah pondok.

Berdasarkan perancangan program PISH itu, keberhasilan yang dijangkakan adalah nilai tambah kepada pelajar di institusi tahfiz atau sekolah pondok untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan, meningkatkan akses dan penyertaan pelajar kepada program TVET.

Selain itu, PISH ini juga bagi melahirkan pelajar di institusi tahfiz dan sekolah pondok yang berpendidikan kemahiran dan teknikal seterusnya meluaskan peluang pekerjaan selepas tamat pengajian.

Menurut Pengarah Kolej Komuniti Kuala Pilah (KKKP), Ts Ahmad Afandi Abd Khalil, peranan Kolej Komuniti dalam PISH di Malaysia amat besar signifikannya kepada komuniti.

Katanya, program ini menggabungkan antara pendidikan agama dengan kemahiran.

"Kolej Komuniti Kuala Pilah (KKKP) menggunakan pendekatan dengan menawarkan TVET dan keusahawanan kepada pelajar tahfiz".

"KKKP juga menawarkan ilmu kemahiran kepada mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan berasaskan Pendidikan Islam seperti guru-guru Kafa dan imam masjid," katanya.

"Latihan kemahiran yang ditawarkan Kolej Komuniti Kuala Pilah, meliputi pelbagai bidang antaranya masakan, teknologi maklumat serta bidang latihan IR 4.0 dan tidak ketinggalan bidang latihan baik pulih telefon bimbit.

"Kecukupan dan keterampilan pensyarah serta infrastruktur yang ada di KKKP dapat menampung penawaran latihan tersebut kepada umum," tambahnya.

Bermula 2018, pelbagai kursus dilaksanakan KKKP dan terdapat permintaan program keperluan TVET dari pihak tahfiz kepada pelajar.

Ini kerana kata Ahmad Afandi, terdapat kesinambungan antara bidang tahfiz dan TVET iaitu bukan sahaja dari sudut spiritual diri, malah dari sudut fizikal perlu pengisian bagi memenuhi tuntutan menjadi seorang Muslim.

Gabungan bidang kemahiran serta bidang tahfiz, mampu meluaskan kebolehan kepada pelajar terbabit.

"Pelbagai perancangan program latihan kemahiran dibuat KKKP dalam mempelbagaikan program yang akan dianjurkan kepada pelajar institusi tahfiz dan sekolah pondok.

"Antaranya kluster I.R 4.0, kursus IOT dan robotik, kursus baik pulih telefon android & IOS, kursus asas Microsoft Office online dan offline.

"Bagi latihan kemahiran katering dan sajian pula, antara kursus yang akan dilaksanakan ialah penghasilan produk berasaskan yis, penghasilan pro

duk kastard, penyediaan asas kek, dekorasi kek," katanya.

Antara penyertaan yang diterima adalah dari Pusat Tahfiz Baitul Quran Wal Hadith Senawang, Madrasah Tahfiz Tanwiriah Rembau dan Madrasah Tahfiz Al-Ghoniah.

Pihak KKKP juga bersedia untuk melaksanakan kursus secara dalam talian sebagai usaha membantu menangani masalah wabak Covid-19 yang membataskan pelaksanaan kursus secara bersemuka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 7:00 AM