PROGRAM Polycc Ride@Langkawi 2022 mendapat sambutan menggalakkan.
PROGRAM Polycc Ride@Langkawi 2022 mendapat sambutan menggalakkan.
Suliati Asri


SERAMAI 242 peserta yang terdiri daripada warga politeknik dan kolej komuniti seluruh negara mengambil bahagian dalam kayuhan basikal, program Polycc Ride@Langkawi 2022 sejauh 70 kilometer (km).

Polycc Ride@Langkawi 2022 itu dianjurkan sebagai salah satu aktiviti sukan dalam kalangan pelajar Politeknik Malaysia dan Kolej Komuniti Malaysia.

Bukan itu saja, program dengan #GatherToRide ini juga bertujuan untuk mempromosikan Langkawi sebagai pusat pelancongan yang menarik bertaraf antarabangsa dan sesuai bagi tujuan rekreasi sukan seperti aktiviti berbasikal.

Menyatukan elemen 'fun ride' dan 'tournament', program kayuhan ini adalah anjuran bersama Majlis Sukan Politeknik (MSP) dengan kerjasama Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (BAPP, JPPKK), Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) dan Langkawi Tourism Academy@Kolej Komuniti Langkawi (LTA@KKLK).

Menariknya, kayuhan sejauh 70km itu menggunakan laluan yang hampir serupa dengan Iron Man Langkawi.

Selain itu, pada jarak 60km yang pertama, semua peserta diwajibkan untuk mengayuh basikal dengan tahap kelajuan tidak melebihi 30km/j.

Pada jarak 10km terakhir pula, semua peserta dibenarkan untuk mengayuh mengikut kemampuan masing-masing bagi menamatkan kayuhan.

Muhammad Afiq Mohamad Safari dari Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) merangkul gelaran juara bagi kategori pelajar lelaki, manakala bagi kategori pelajar wanita pula menjadi milik Aisyah Nabihah Zamri dari Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS).

SEORANG pemenang program Polycc Ride@Langkawi 2022 menerima hadiah.
SEORANG pemenang program Polycc Ride@Langkawi 2022 menerima hadiah.

PTSS turut dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi kategori pelajar.

Pengarah Kanan (Kompetensi) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Roslee Yahya merakamkan ucapan tahniah kepada semua Ahli Majlis Tertinggi MSP, Politeknik Sultan Azlan Shah dan Langkawi Tourism Academy@Kolej Komuniti Langkawi atas sokongan dan kerjasama yang diberikan selaku pengelola induk program.

"Kerjasama dan komitmen MSP dan semua pihak yang terbabit memainkan peranan masing-masing dengan mewujudkan 'Smart Partnership' bagi memajukan pelbagai jenis sukan dalam kalangan pensyarah, pelajar komuniti setempat amat dihargai," katanya ketika berucap pada majlis penutup.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Sukan Politeknik, Azirin Abdul Aziz, Pengurus Unit Khidmat Korporat Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) Nordiana Nordin, Ketua Penolong Pegawai Daerah Langkawi Zulkifli Abdullah, Pengarah Politeknik Sultan Azlan Shah, Muhammad Zubir Mohd Hanifah dan Pengarah Langkawi Tourism Academy@Kolej Komuniti Langkawi Haslinda Abd Hamid.

MSP selaku penganjur Polycc Ride@Langkawi 2022 mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Program itu turut mendapat sokongan dan kerjasama yang tinggi daripada agensi kerajaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pejabat Kesihatan Daerah, Hospital Sultanah Maliha dan semua pihak yang turut bersama-sama dalam menjayakan program ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 6:30 AM