Chow Kon Yeow memberi kenyataan media mengenai penyakit Demam Babi Afrika (ASF) di Pejabat Ketua Menteri, Tingkat 28 di sini, hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Chow Kon Yeow memberi kenyataan media mengenai penyakit Demam Babi Afrika (ASF) di Pejabat Ketua Menteri, Tingkat 28 di sini, hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Kes Demam Babi Afrika atau 'African swine fever' (ASF) di negeri ini meningkat dengan tiga lagi ladang komersial di Barat Daya dijangkiti wabak terbabit, menjadikan jumlah keseluruhannya kepada 27 setakat ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, setakat semalam, penyakit itu sudah merebak ke 18 ladang di Seberang Perai Selatan (SPS), dua di Seberang Perai Tengah (SPT), empat di Seberang Perai Utara (SPU) dan tiga di Barat Daya (3) dengan jumlah keseluruhan babi dijangkiti ialah 62,197 ekor.

"Babi ini dihantar ke lokasi tertentu dengan lori. Ada kalanya, pemborong menggunakan lori yang sama untuk menghantar babi yang diambil dari ladang ke rumah sembelihan. Ia mungkin satu daripada punca ASF merebak apabila lori tidak disanitasi dengan betul.

"Ketika ini, penternak dari ladang-ladang yang disahkan selamat, masih dibenarkan menghantar ternakan mereka ke rumah sembelihan. Namun, pergerakan babi hidup merentas negeri adalah dilarang," katanya kepada media di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) hari ini.

Kon Yeow memaklumkan, setakat semalam, 11,943 ekor babi sudah dimusnahkan dengan kerja-kerja pemusnahan masih giat dijalankan bagi mengekang penularan penyakit itu.

Beliau berkata, sekiranya ladang babi komersial yang disahkan dijangkiti ASF mempunyai keluasan tanah mencukupi, bangkai babi boleh dilupuskan di kawasan ladang masing-masing.

Katanya, bangkai babi yang dilupuskan ditanam di kawasan yang jauh dari penempatan awam dan tiada pembangunan di kawasan yang diperuntukkan di SPS bagi memastikan tidak berlaku kacau ganggu kepada orang ramai.

"Ladang babi komersial di Barat Daya cuma ada empat, jadi populasi di sana tidak sebanyak seperti di SPS. Bagaimanapun, keluasan tanah yang diperuntukkan adalah mencukupi untuk dijadikan tapak menanam bangkai babi dijangkiti ASF.

"Daripada apa yang berlaku, dalam satu atau dua minggu, kita melihat kes bertambah kepada tiga atau empat ladang. Tetapi jika melihat statistik kes Kampung Valdor, SPS, kes kekal tidak bertambah," katanya.

Beliau mendedahkan, kes jangkitan ASF setakat ini dilihat berlaku di ladang yang berada berdekatan antara satu sama lain.

Ladang yang terletak di lokasi berjauhan didapati bebas daripada ASF.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang sudah menghantar permohonan pampasan bagi 10 ladang babi yang sudah selesai melakukan proses pelupusan kepada Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar (IPPV), Putrajaya untuk tindakan lanjut.

Katanya, berdasarkan bancian 2022, terdapat 124 ladang babi membabitkan empat daerah di Pulau Pinang dengan populasi keseluruhan sebanyak 267,348 ekor.

Menurut beliau, bekalan daging babi ketika ini masih cukup untuk menampung keperluan penduduk di negeri ini.

"Orang awam dinasihati tidak cemas dengan ASF kerana ia bukan penyakit zoonotik dan hanya menjangkiti ternakan babi serta babi hutan.

"Namun, penyakit yang berkepentingan ekonomi ini sangat cepat merebak dan boleh menyebabkan 100 peratus kematian dalam tempoh dua hingga 10 hari kepada ternakan babi yang dijangkiti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 3:57 PM