Siti Aminah Mohd Yusof


Batu Kawan: Dua lagi ladang babi di Pulau Pinang merekodkan kes baharu demam babi Afrika (ASF), menjadikan keseluruhan ladang terkesan dengan wabak itu mencecah 23 setakat ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, ladang berkenaan adalah 17 di Seberang Perai Selatan (SPS), dua di Seberang Perai Tengah (SPT) dan empat di Seberang Perai Utara (SPU), dengan jumlah ternakan dijangkiti 53,275 ekor.

"Wabak itu ada kemungkinan akan merebak lagi dan difahamkan dua pasukan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Putrajaya turut membantu JPV Pulau Pinang.

"Setakat semalam sebanyak 7,998 ekor babi telah dimusnahkan di ladang positif di SPS dan SPT, dengan operasi pelupusan dijalankan di tapak yang disediakan di SPS," katanya yang ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Batu Kawan di sini, hari ini.

Chow berkata, wabak itu cepat merebak dan boleh menyebabkan 100 peratus kematian dalam tempoh dua hingga 10 hari sekiranya dijangkiti, manakala bangkai babi yang dilupuskan ditanam di kawasan jauh daripada penempatan awam.

Katanya, sehingga kini terdapat 101 ladang babi masih belum dijangkiti ASF yang membabitkan sejumlah 214,073 ekor ternakan.

"Justeru, penternak dari ladang-ladang yang disahkan selamat masih dibenarkan menghantar ternakan mereka ke rumah sembelihan dan bekalan daging babi masih mencukupi untuk memenuhi permintaan pasaran," katanya yang turut menasihati penduduk agar tidak cemas kerana ASF bukan penyakit zoonotik dan hanya menjangkiti ternakan babi dan babi hutan.

LADANG babi di Sungai Bakap, Pulau Punang yang dijangkiti wabak ASF telah diambil tindakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang. FOTO Danial Saad.
LADANG babi di Sungai Bakap, Pulau Punang yang dijangkiti wabak ASF telah diambil tindakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang. FOTO Danial Saad.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 4:54 PM