Siti Aminah Mohd Yusof

Bukit Mertajam: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas 2,205 kilogram tepung gandum daripada sebuah premis yang menjadi antara pengilang roti popular di negeri ini atas kesalahan menyimpan barang kawalan itu tanpa permit.

Pengarahnya, S Jegan, berkata dalam pemeriksaan rawak jam 11 pagi itu pihaknya mendapati premis tersebut tidak mempunyai permit menyimpan barang kawalan berjadual iaitu tepung gandum meskipun sudah beroperasi di Jalan Transfer sejak 20 tahun lalu.

"Kami turut menemui seorang lelaki berusia 70 tahun yang mengakui dirinya sebagai pengarah syarikat terbabit dan dikatakan syarikat itu tidak dimaklumkan pemborong untuk mendapatkan sebarang permit untuk menyimpan barang kawalan berjadual berkenaan.

"Hasil pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai jenama tepung gandum yang kemudiannya disita dan dianggarkan bernilai RM6,400," katanya dalam sidang media di Kompleks Penyimpanan Ekshibit Pejabat KPDN Pulau Pinang di sini hari ini.

S JEGAN (kiri) bersama A Mogan (kanan) menunjukkan tepung gandum yang disita untuk siasatan ketika sidang media di Kompleks Penyimpanan Stor Eksiibit KPDN Pulau Pinang di Bukit Minyak. FOTO Danial Saad
S JEGAN (kiri) bersama A Mogan (kanan) menunjukkan tepung gandum yang disita untuk siasatan ketika sidang media di Kompleks Penyimpanan Stor Eksiibit KPDN Pulau Pinang di Bukit Minyak. FOTO Danial Saad

Jegan berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi dan mengalu-alukan maklumat dan aduan daripada orang awam berhubung perkara tersebut.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan penalti sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Manakala kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 2:30 PM