Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Kegiatan seorang lelaki warga emas yang menyara hidup dengan melakukan aktiviti penyelewengan diesel terbongkar selepas dia ditahan di sebuah stesen minyak di Auto City, Juru, di sini, pagi semalam.

Lelaki berusia 60-an itu ditahan kira-kira jam 9 pagi ketika dia sedang leka mengisi minyak diesel ke dalam trak pikap jenis Mitsubishi Triton miliknya yang sudah diubah suai.

Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, A Mogan berkata, sepasukan pegawai penguatkuasa menghampiri lelaki berkenaan selepas mendapati kelakuannya yang berada dalam keadaan mencurigakan.

"Ketika mendekati suspek kami temui dua bahagian tempat mengisi minyak yang pemeriksaan lanjut kemudian menjumpai tangki simpanan fiber berkapasiti 550 liter (l) di ruangan tempat duduk penumpang belakang dan ruangan barang yang diubahsuai.

"Siasatan mendapati suspek mengubah suai sendiri kenderaan itu dengan kos sebanyak RM2,500. Dia sudah mengisi 380 liter minyak diesel bernilai RM760 ke dalam tangki berkenaan," katanya pada sidang media di Stor Penyimpanan Eksibit KPDNHEP di Bukit Minyak, di sini, hari ini.

A MOGAN (dua kanan) menunjukkan kenderaan pacuan empat roda telah diubahsuai dengan tangki berisi diesel ketika sidang media di Kompleks Penyimpanan Stor Eksiibit KPDNHEP Pulau Pinang di Bukit Minyak. FOTO Danial Saad
A MOGAN (dua kanan) menunjukkan kenderaan pacuan empat roda telah diubahsuai dengan tangki berisi diesel ketika sidang media di Kompleks Penyimpanan Stor Eksiibit KPDNHEP Pulau Pinang di Bukit Minyak. FOTO Danial Saad

Jelasnya, hasil soal siasat ke atas suspek turut memaklumkan bahawa dia menjalankan kegiatan itu seorang diri sebagai pendapatan tetap untuk menyara hidupnya.

"Suspek mengaku bahawa dia menjalankan kegiatan ini sejak dua bulan lalu, namun risikan pihak kita mendapati dia dipercayai terbabit dalam kegiatan ini lebih daripada enam bulan.

"Modus operandi yang digunakan suspek adalah bergerak dari stesen minyak ke stesen minyak lain di negeri ini memandangkan terdapat had pembelian.

"Selepas mengisi penuh, suspek akan meletakkan kenderaan itu di satu tempat di tepi jalan sebelum datang individu tidak dikenali yang akan mengambil kenderaan berkenaan bersama minyak diesel yang sudah diisi," katanya.

Mogan berkata, dalam operasi itu pihaknya merampas minyak diesel serta kenderaan terbabit dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM41,060 bagi siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 2:49 PM