GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Seorang pekerja sambilan di sebuah sekolah memandu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor selepas disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah RM650 daripada seorang calon ujian memandu, hari ini.

Menurut sumber, wanita berusia lingkungan 40-an itu ditahan sekitar jam 4.30 petang hari ini di Pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.

Katanya, suspek yang juga pembantu tadbir kanan di sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) dikatakan meminta wang tersebut sebagai dorongan mendapatkan lesen 'gerenti lulus'.

Jelasnya, suspek berkerja di sekolah memandu di Petaling Jaya yang dimiliki bapa mentuanya secara sambilan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.

Menurutnya, SPRM Selangor akan membawa suspek ke Mahkamah Sesyen Shah Alam esok bagi mendapatkan perintah permohonan reman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2023 @ 9:44 PM