GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Lesen 'gerenti lulus'. Itu tindakan dua pembantu penguat kuasa sebuah agensi kerajaan yang ditahan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima wang rasuah bagi urusan permohonan lesen kenderaan gerenti lulus.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki dan wanita berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 3 petang tadi ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Selangor tadi.

"Penahanan suspek adalah susulan penahanan dua suspek sebelum ini membabitkan seorang wanita yang juga pekerja sambilan dan seorang pengajar lelaki di sebuah sekolah memandu.

"Mereka ditahan selepas disyaki meminta wang daripada calon ujian memandu sebagai dorongan bagi mendapatkan lesen 'gerenti lulus'," katanya.

Menurutnya, semua suspek terbabit masing-masing dipercayai menerima wang tunai berjumlah RM1,750 dan RM750 bagi tujuan itu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan suspek terbabit.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Tambah beliau, kedua-dua suspek dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pagi esok untuk permohonan reman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2023 @ 7:29 PM